William Cuba Serang Mahathir?

KUALA LUMPUR – Ahli Parlimen Selayang, William Leong Jee Ken didakwa cuba mewujudkan serangan terbuka kepada Perdana Menteri, Tun Dr. Mahathir Mohamad.

Perkara itu dapat dilihat menerusi beberapa artikel tulisan bekas bendahari PKR itu yang diterbitkan oleh sebuah laman portal, kata penganalisis politik, Dr. Kamarul Zaman Yusoff.

Menurut beliau, walaupun tidak dinyatakan secara tersurat, tetapi artikel-artikel tersebut memberi gambaran berkemungkinan pemimpin DAP itu mempunyai objektif untuk meningkatkan tekanan agar proses peralihan kuasa dapat disegerakan.

“Begitu pun, walaupun artikel-artikel ini cuba disulami dengan pelbagai elemen ilmiah, termasuk petikan daripada tulisan-tulisan sarjana-sarjana politik antarabangsa, ternyata sekali ia bukanlah artikel-artikel yang kuat malah, berpotensi untuk menakut-nakutkan rakyat semata-mata tanpa sebarang pembuktian yang nyata,” katanya menerusi kenyataan di Facebook.

Kamarul Zaman berkata, meskipun artikel tulisan William itu lebih menjurus kepada permasalahan dalaman Pakatan Harapan (PH), selain memuatkan tuduhan-tuduhan yang terlalu teruk ke atas UMNO dan PAS sehingga memungkinkan beliau boleh disaman di mahkamah di atas tuduhan-tuduhan yang dilemparkan itu, namun, jelas unsur serangan terhadap Dr. Mahathir itu wujud.

“Risau saya bila melihatkan serangan terbuka PKR kepada Tun Dr. Mahathir oleh pemimpin PKR ini sesudah kritikan terbuka kepada Tun Dr. Mahathir sebelumnya telah dibuat oleh beberapa orang pemimpin DAP, apatah lagi bila tulisan William Leong ini boleh dikira sebagai satu tulisan yang amat tidak bertanggungjawab.

“Lihatlah sahaja komen-komen provokatif pembaca susulan tulisan William Leong ini, antaranya adalah kenyataan bahawa “we feel that they are planning to do something bad to the non-Malays in order to gain full control of everything by force and brutality” dan ramalan bahawa “it is a matter of time they will slaughter the Chinese again”.

“Apakah ini ada kaitan dengan penyiaran besar-besaran laporan Peristiwa 13 Mei baru-baru ini?” soalnya. – MalaysiaGazette

Loading...