WHO Rayu Dunia Bersatu Perangi Pandemik COVID-19

GENEVA – Pertubuhan Kesihatan Sedunia (WHO) semalam merayu seluruh dunia agar bersatu padu memerangi COVID-19.

Seruan perpaduan global itu dibuat susulan ‘serangan’ Presiden Amerika Syarikat (AS), Donald Trump, yang mengkritik tindakan WHO dalam menangani pandemik berkenaan.

Ketika WHO bersiap siaga hari ini untuk menghadapi hari ke-100 sejak wabak terbabit dikesan di China, Ketua Pengarahnya, Tedros Adhanom Ghebreyesus, tampil membalas tuduhan bahawa agensi antarabangsa itu terlalu rapat dengan Beijing.

Tedros tegas mempertahankan pengurusan WHO dalam pandemik itu, sekali gus menggesa AS berganding bahu dengan China untuk memerangi penyakit berkenaan daripada bersikap menuding jari.

“AS dan China harus bekerjasama dan melawan musuh berbahaya ini.

“Semua parti politik sepatutnya memfokus untuk menyelamatkan rakyat mereka. Tolong jangan mempolitikkan virus ini.

“Jika anda tidak mahu semakin banyak beg mayat, maka hindarkan diri daripada mempolitikkannya. Ia seperti bermain dengan api,” katanya pada taklimat media secara maya di Geneva.

Malah, Tedros memohon pengertian berhubung ancaman wabak itu yang telah menjangkiti lebih 1.4 juta orang dan meragut lebih 80,000 nyawa di seluruh dunia.

“Demi Tuhan… tidakkah ini mencukupi?” katanya.

Kelmarin, Trump menuduh WHO mengambil tindakan salah dan terlalu lambat, selain menerima dana daripada AS tetapi berat sebelah kepada China.

“WHO benar-benar membuat kesilapan besar. Atas sebab tertentu, sebahagian besar dana dibiayai oleh AS tetapi sangat berpusatkan China. Kami akan meneliti perkara itu.

“Mujur saya menolak nasihat mereka untuk terus membuka sempadan kami kepada China pada peringkat awal. Mengapa mereka memberikan saranan salah seperti itu?” katanya melalui Twitter.

WHO pernah dikritik sebagai bertindak berlebihan mahupun terlalu lembap dalam menangani epidemik sebelum ini, namun ia jarang berdepan sebegitu banyak bidasan seperti ketika pandemik COVID-19.

Agensi kesihatan Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB) itu dilihat terlalu cemas ketika berdepan epidemik H1N1 pada 2009 tetapi lima tahun kemudian, ia didakwa lembap bertindak dalam menangani wabak Ebola di Afrika Barat yang meragut lebih 11,000 nyawa.

Kini, agensi itu dituduh berlengah dalam ‘membunyikan penggera kecemasan’ berhubung COVID-19 kerana bimbang menyinggung Beijing, menunggu terlalu lama sebelum mengisytiharkan wabak berkenaan sebagai pandemik global, dan gagal menyelaraskan tindak balas antarabangsa yang bersepadu.

Ketika ini, Tedros mengadakan sidang media maya sebanyak tiga kali seminggu sebagai langkah telus berhubung cara WHO menangani pandemik itu.

Semalam, bekas Menteri Kesihatan dan Menteri Luar Ethiopia itu bersuara untuk kali pertama mengenai serangan peribadi terhadap dirinya, termasuk kecaman berbaur perkauman serta satu ancaman bunuh ketika krisis itu.

“Saya tidak mengambil peduli langsung.

“Saya amat berbangga sebagai orang kulit hitam atau negro. Saya tidak kisah walaupun dipanggil negro; saya memang itu.

“Apabila seluruh masyarakat kulit hitam dihina, apabila Afrika dihina, maka saya tidak bertolak ansur,” katanya merujuk pandangan dua saintis, minggu lalu, mengenai kesesuaian rantau terbabit untuk pengujian vaksin.

Lewat semalam, beliau menciap semula sokongan peribadi diterima daripada Kesatuan Afrika dan Presiden Afrika Selatan, Nigeria serta Rwanda.

Setiausaha Agung PBB, Antonio Guterres, turut memberi sokongan dengan menegaskan bahawa sekarang bukan masa untuk mengkritik tindak balas awal terhadap wabak itu.

“Sekarang adalah masa untuk perpaduan dan masyarakat antarabangsa berganding bahu dalam solidariti bagi menghentikan virus ini serta kesannya yang membawa kehancuran,” katanya dalam satu kenyataan.

Malah, Tedros juga menerima sokongan daripada beberapa selebriti terkemuka seperti Lady Gaga di AS.

Beliau bekerjasama dengan penyanyi terkenal itu untuk melancarkan konsert gergasi dalam talian berhubung kesedaran COVID-19 dinamakan ‘Satu Dunia: Bersama-sama di Rumah’ yang menampilkan ikon muzik seperti Paul McCartney dan Stevie Wonder.

Tedros memberi amaran, pandemik COVID-19 akan semakin buruk jika seluruh dunia tidak bersatu padu melawan penularannya.

“Marilah berjuang habis-habisan untuk mengawal dan membanteras virus ini.

“Jika tidak, dengan cara kita bertindak sekarang, saya fikir kita akan menyesalinya,” katanya. – Agensi

Loading...