WHO Puji Malaysia Tangani Covid-19

PUTRAJAYA – Pertubuhan Kesihatan Sedunia (WHO) sekali lagi memuji langkah kesiapsiagaan dan keupayaan Malaysia menangani jangkitan koronavirus (Covid-19).

Perkara itu dimaklumkan Menteri Kesihatan, Datuk Seri Dr. Dzulkefly Ahmad selepas mengadakan telesidang bersama Pengarah WHO, Dr. Tedros Adhanom Ghebreyesus sebentar tadi.

Menurutnya, WHO mencadangkan agar Malaysia memperkukuhkan aktiviti pemantauan influenza dengan menjalankan ujian Covid-19 ke atas pesakit severe acute respiratory infection (SARI).

Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) memaklumkan kepada WHO bahawa kementerian telah memperluaskan survey jangkitan salur pernafasan dengan menjalankan ujian Covid-19.

“KKM akan terus bekerjasama dengan WHO dan pihak-pihak yang terlibat,” katanya pada sidang media perkembangan terkini Covid-19 di kementeriannya di sini hari ini.

Pada 5 Februari lalu, Wakil WHO ke Malaysia, Brunei Darussalam dan Singapura, Dr Lo Ying-Ru memuji tindakan pihak berkuasa Malaysia dalam mengurus dan membendung penularan jangkitan Covid-19 yang sebelum ini dikenali sebagai koronavirus.

Katanya, kerajaan negara ini cemerlang dalam melakukan siasatan kesnya selain telus berkongsi perkembangan terkini bukan hanya kepada WHO tetapi juga kepada orang ramai. – Sinar Harian

Loading...