WhatsApp Sekat Talian Hotline KKM Untuk Adu Perokok

PUTRAJAYA – Talian penting atau ‘hotline’ yang digunakan oleh orang ramai untuk membuat aduan sekiranya terdapat perokok merokok di restoran yang telah diisytiharkan sebagai zon larangan merokok telah disekat oleh pengendali aplikasi WhatsApp.

Menteri Kesihatan, Datuk Seri Dr. Dzulkefly Ahmad, sekatan itu dibuat selepas terdapat aduan daripada orang awam yang mendakwa talian penting itu melanggar terma dan syarat aplikasi tersebut.

“Saya mengambil maklum tentang aduan serta laporan akhbar berhubung sekatan ke atas talian hotline umum oleh pihak pengurusan aplikasi WhatsApp.

“Menurut maklumat yang saya terima, sekatan ini berlaku selepas terdapat aduan daripada orang awam yang mendakwa talian hotline tersebut melanggar terma dan syarat WhatsApp,” katanya menerusi satu kenyataan di sini hari ini.

Selain digunakan untuk membuat aduan, talian penting itu juga disediakan bagi memudahkan orang awam untuk mendapatkan maklumat, membuat pertanyaan atau mendapatkan nasihat yang berkaitan.

Langkah itu diambil bagi memperkasakan peranan orang awam dalam membantu kementerian melaksanakan larangan merokok, selain meningkatkan kesedaran mereka terhadap bahaya asap rokok.

Sehubungan itu, Dzulkefly berkata, pihak KKM akan mengadakan perbincangan bersama Syarikat Facebook yang bertanggungjawab terhadap aplikasi tersebut dalam masa terdekat bagi mencari penyelesaian.