Waytha Moorthy Sahkan Rakaman Video Beliau

KUALA LUMPUR – Menteri di Jabatan Perdana Menteri, Senator P. Waytha Moorthy mengesahkan rakaman video beliau mendakwa Malaysia sebuah negara…

KUALA LUMPUR – Menteri di Jabatan Perdana Menteri, Senator P. Waytha Moorthy mengesahkan rakaman video beliau mendakwa Malaysia sebuah negara yang mendiskriminasi penganut Hindu dalam satu temuramah di luar negara seperti yang tersebar di media sosial sejak beberapa hari lalu.

Waytha Moorthy namun menjelaskan rakaman video itu dibuat pada tahun 2007 dan mengingatkan Badan Bertindak Hak Asasi Hindu (Hindraf) yang dipengerusikannya telah membantu Pakatan Harapan (PH) menumbangkan kerajaan Barisan Nasional (BN) dalam Pilihan Raya Umum ke-14 (PRU14) pada 9 Mei lalu.

Beliau malah mendakwa, Perdana Menteri, Tun Dr. Mahathir Mohamad yang melantiknya sebagai anggota Kabinet selepas kerajaan BN berjaya ditumbangkan dengan bantuan Hindraf tahu mengenai aktiviti lampau beliau selama ini dan nasib sebenar kaum India di negara ini.

“Hindraf meneruskan perjuangannya dengan PH yang dipimpin oleh Tun Dr. Mahathir. Saya secara peribadi telah menerangkan kepada Tun tentang aktiviti saya sebelum ini dan nasib sebenar orang India.

“Hindraf telah menyokong kepimpinan Tun sebelum PRU14 dan mengerakkan sokongan kepada kerajaan sedia ada bagi memastikan UMNO dapat ditewaskan,” katanya dalam satu kenyataan media hari ini.

Waytha Moorthy menegaskan, beliau dan anggota Kabinet kerajaan PH sedang bekerjasama memastikan masyarakat India dan golongan minoriti di negara ini mendapat layanan yang adil dan sama rata kerana kerajaan baharu komited keatas prinsip demokrasi.

Mynewshub hari ini melaporkan imej kerajaan PH semakin tercalar berikutan satu video temuramah dipercayai membabitkan seorang Menteri di Jabatan Perdana Menteri di Belanda tersebar di media sosial sejak semalam.

Dalam rakaman video yang belum diketahui kesahihannya itu, Waytha Moorthy mendakwa Malaysia sebuah negara yang mendiskriminasi penganut Hindu termasuk memaksa kaum India memeluk agama Islam.

Maklumat yang tersebar di media sosial mendakwa Waytha Moorthy membuat kenyataan memburuk-burukkan Malaysia dalam usaha menjemput sokongan negara asing menumbangkan kerajaan BN.

Waytha Moorthy yang juga Pengerusi Hindraf dilantik sebagai Menteri oleh Mahathir dipercayai atas jasanya membantu PH menumbangkan kerajaan BN dalam PRU14. – MYNEWSHUB.TV

Loading...