Waytha Malukan Malaysia Dalam Sesi Dialog Di UK?

KUALA LUMPUR – Rujukan profil P. Waytha Moorthy dalam satu dialog di United Kingdom (UK) dianggap memalukan Malaysia.

Ia berlaku dalam dialog anjuran Northern Ireland Council for Racial Equality (NICRE).

Itu dakwa seorang rakyat Malaysia yang mewakili komuniti Islam di UK yang menghadiri majlis dialog berkenaan kelmarin.

Nabir Othman dalam hantaran di Facebooknya mendakwa gambaran yang diberi dalam profil Menteri di Jabatan Perdana Menteri itu amat mengejutkannya.

“Amat mengejutkan dengan maklumat yang tertera dalam profil seorang menteri dari kerajaan yang memerintah Malaysia hari ini.

“Pada perenggan pertama lagi Malaysia digambarkan sebagai negara dengan undang-undang rimba yang tidak bertamadun.

“Selebihnya silalah baca sendiri. Saya merasakan ia tetap tidak relevan dengan kedudukan beliau sebagai seorang menteri yang memegang portfolio berkaitan,” tulisnya sambil memuatnaik profail Waytha pada dialog berkenaan di media sosialnya.

Menurut Nabir, Malaysia telah merdeka lebih 63 tahun dan satu pertiga darinya telah dipimpin oleh individu yang sama menjadi perdana menteri hari ini.

“YB Moorthy seorang menteri dari JPM dengan latarbelakang seorang peguam sepatutnya tahu implikasi profil beliau mengenai pandangan luar terhadap Malaysia. Pada pandangan saya beliau tidak membawa risalah Jabatan Perdana Menteri yang sepatutnya. Apatah lagi Malaysia,” tulisnya lagi.

Beliau merasakan kerosakan imej telah berlaku terhadap negara Malaysia melalui profil tersebut.

Kenyataan pada profil itu menggambarkan kerajaan Malaysia melakukan kezaliman terhadap agama lain walaupun realiti di sebaliknya.

“Sahabat saya yang turut hadir sebagai penyampai ucapan bagi mewakili komuniti Muslim di sini bertanya kepada saya secara peribadi untuk kepastian. Betulkah non Muslim di Malaysia dipaksa untuk memeluk agama Islam?

“Ajaran Islam apakah yang Malaysia amalkan dengan memaksa orang untuk memeluk agama Islam?” soalnya merujuk kepada pertanyaan sahabatnya.

Menurut Nabir, kenyataan dalam profil tersebut bukan hanya sekadar membabitkan Malaysia bahkan ia melibatkan dakwaan palsu mengenai ajaran Islam yang merentasi sempadan.

“Ia membabitkan dakwaan palsu mengenai ajaran Islam yang mempunyai pengikut sekitar 1.8 billion seluruh dunia. Juga dalam konteks kami sebagai minoriti di sini. Tiada dalam ajaran Islam untuk memaksa orang memeluk agama Islam.

“Laksana Islamophobia dari seorang yang memegang jawatan menteri yang sepatutnya menangani kes seumpama ini,” tulisnya lagi.

Menurutnya, Waytha sepatutnya membawa mesej perdamaian, perpaduan dan kesejahteraan sosial untuk dikongsi oleh dunia luar.

“Ia lebih patut dengan amanah dan jawatan yang anda pegang. Sesuai dengan Malaysia yang terkenal sebagai sebuah negara yang berbilang kaum yang hidup harmoni sejak sekian lama,” tulisnya.

Pada Nabir, kaum selain Melayu telah sedia diberikan hak malah dibiayai kerajaan untuk meneruskan pendidikan dalam bahasa ibunda masing-masing.

Lihat sahaja perayaan Tahun Baru Cina yang diberi cuti am dan perayaan agama lain di Malaysia berbanding di negara luar lain termasuk di UK.

Lebih elok, Nabir berpendapat, Waytah memperjuangkan kes kematian anggota bomba, Allahyarham Muhammad Adib Mohd Kassim.

“Harapnya YB Moorthy boleh membela kematian Adib untuk membawa penjenayah yang terlibat kemuka pengadilan. Demi keluarga beliau yang memerlukan pembelaan, demi penjawat awam yang terkorban semasa menjalankan tugas, demi kedaulatan undang-undang dan demi kesusilaan hubungan antara kaum di Malaysia,” tulisnya. – MalaysiaGazette

Loading...