Waspada ‘Perang Psiko’ PPBM Lemahkan UMNO

KUALA LUMPUR – Dakwaan seramai 40 Ahli Parlimen UMNO akan menyertai Parti Pribumi Bersatu Malaysia (PPBM) antara ‘perang psiko’ parti itu untuk menggugat kesepaduan dan kejituan pimpinan UMNO

Ketua Wanita UMNO Malaysia, Datuk Dr. Noraini Ahmad berkata, dakwaan oleh Ahli Majlis Tertinggi PPBM itu semata-mata bertujuan menjadikan UMNO lemah dan berpecah.

“Justeru Wanita UMNO berharap ahli UMNO sedar tentang usaha berterusan memecahbelahkan parti terutama oleh musuh politik.

“Kita perlu insaf bahawa parti dalam keadaan yang sangat getir dan fokus utama pada masa ini adalah membangkitkan semula UMNO dengan mengutamakan penyatuan dalaman,” katanya dalam satu kenyataan media hari ini.

Noraini yang juga Ahli Parlimen Parit Sulong berkata, Wanita UMNO yakin Ahli Parlimen UMNO yang setia dengan parti tidak akan mengambil keputusan yang membawa kehancuran kepada parti sekaligus meminggirkan kepercayaan rakyat.

Ahli Majlis Tertinggi PPBM, Datuk A. Kadir Jasin semalam mendakwa kira-kira 40 Ahli Parlimen daripada UMNO akan keluar parti dan menyertai Bersatu yang dipengerusikan Tun Dr. Mahathir Mohamad.

A. Kadir juga adalah Penasihat Media dan Komunikasi di Pejabat Perdana Menteri kerajaan Pakatan Harapan (PH). – MYNEWSHUB.TV

Loading...