Warna Bulu Kucing Berubah Disebabkan Vitiligo

HEIDELBERG – Pemilik seekor kucing unik berkongsi gambar menakjubkan menunjukkan bagaimana bulu haiwan peliharaannya itu bertukar warna disebabkan masalah vitiligo yang jarang ditemui.

Nicole Bohm menyelamatkan dua ekor anak kucing dari sebuah ladang pada tahun 2016 namun tidak lama kemudian mengesan sesuatu yang pelik pada salah seekor kucing yang diberi nama Elli.

Kucing betina berwarna hitam yang memiliki bulu seperti sut tuksedo itu mulanya mempunyai sedikit tompokan putih pada tahun 2017 sebelum bertukar hampir putih sepenuhnya pada tahun lalu.

“Perubahan itu bermula kira-kira satu tahun selepas Elli dilahirkan. Pada mulanya, hanya satu tompokan putih muncul pada bahagian belakangnya tetapi kemudian doktor mengesahkan Elli menghidap vitiligo,” kata Bohm. Vitiligo adalah penyakit yang memusnahkan pigmen warna dalam sel badan, menyebabkan perubahan warna kulit atau bulu.

Bohm mengemas kini perubahan Elli dalam akaun Instagramnya yang mempunyai 6,000 pengikut. Ada yang mengatakan mereka tidak pernah melihat kucing berubah warna akibat vitiligo. – Agensi

Loading...