Warga Tempatan Dalang Sindiket Tipu Kerja Di Kemboja

KUCHING – Polis Jabatan Siasatan Jenayah Komersil (JSJK) Sarawak sudah mengenal pasti beberapa warga tempatan yang terlibat dengan sindiket penipuan pekerjaan yang mengakibatkan 47 rakyat Malaysia yang ditahan di Kemboja pada 11 Disember lepas.

Ketuanya, Superintendan Mustafa Kamal Gani Abdullah berkata, ia adalah hasil siasatan awal yang dijalankan oleh pihak polis setelah lapan daripada mangsa penipuan itu tampil untuk membuat laporan polis.

Beliau berkata, siasatan awal mendapati mereka diperdayakan, kononnya untuk bekerja dalam bidang perhotelan di Kemboja dengan gaji bulanan di antara USD1,200 (RM4,898.41) dan USD1,500, (RM6,123.02) bagaimanapun sebelum itu mereka perlu membayar yuran pemprosesan antara USD200 (RM816.40) dan USD300 (RM1,224.53) ke akaun bank salah seorang rakyat tempatan.

“Kemudian mangsa secara berasingan terbang ke Lapangan Terbang Antarabangsa Siem Reap, Kemboja di antara bulan Oktober dan November 2018,” katanya dalam satu kenyataan di sini hari ini.

“Sebaik tiba di Lapangan Terbang Antarabangsa Siem Reap, mangsa dibawa ke sebuah rumah dan tidak dibenarkan keluar, dimana makan minum turut disediakan, malah turut diarah untuk menyerahkan telefon bimbit serta paspot mereka kepada individu yang menjaga dan mengawal mereka,” tambahnya. – BERNAMA

Loading...