Warga Prihatin Biaya Kos Perubatan Sahar Di London

HASRAT seorang bapa yang ingin menyambut Aidilfitri bersama keluarga disamping menghadiri majlis graduasi anak prempuannya di Brunel University, London bertukar menjadi mimpi ngeri buat lelaki itu.

Mohamad Sahar Mhd Noor, 57, selepas 20 minit keluar dari Balai Ketibaan Lapangan Terbang Heatrow pada 4 Julai lalu, telah diserang angin ahmar sehingga menyebabkan dia terlantar di hospital sehingga ke hari ini.

“Sebaik saja keluarga saya tiba di lapangan terbang, ayah saya tiba-tiba pengsan dan semuanya berubah selepas itu. Saya panik dan tertekan kerana ayah saya tidak dilindungi insuran perjalanan.

“Keadaan tambah sukar apabila kami juga tidak mampu menampung bil hospital di sini,” kata anak keduanya, Amirah Mohamad Sahar, menerusi laman sesawang Gofundme.

Menurut Amirah juga, selepas hampir sebulan dirawat di Charis Cross Hospital, West London, tiga minggu di ICU, bil rawatan ayahnya mencecah £46,000 (RM245,764.92).

Dalam keadaan terdesak, doktor yang merawat memberitahu yang ayahnya perlu menjalani pembedahan dengan segera.

“Doktor gesa pembedahan dibuat dengan segera. Walaupun berdepan kekangan kewangan, kami tahu yang pembedahan itu sangat penting dan perlu dilakukan untuk mengurangkan tekanan pada otak dan memudahkan pengaliran keluar darah dari otaknya.

“Selepas tiga minggu ayah sudah boleh membuka kedua-dua matanya dan memberi respon ketika kami bercakap dengannya tetapi kami tidak pasti sama ada dia memahaminya atau tidak,” katanya.

Beberapa hari selepas itu, Amirah mendapat berita bahawa MARA bersetuju untuk mendahulukan wang £30,000 (RM160,281.47) untuk tujuan rawatan.

Bagaimanapun, wang yang diberikan itu tidak mencukupi untuk menampung bil hospital yang meningkat hampir £2,000 (RM10,685.43) sehari.

Sehubungan itu, Amirah memulakan kempen Gofundme tiga hari lalu untuk menampung kos perubatan selebihnya.

Hasil tiga hari kempen itu dijalankan, kutipan telah melebihi amaun yang disasarkan iaitu lebih £27,000 (RM144,253.32) menjadikan jumlah kepada £52,817 (RM281,263.60) hasil sumbangan rakyat Malaysia dan pelayar Internet yang prihatin dari pelbagai negara.

Warga Prihatin Biayai Kos Perubatan Rakyat Malaysia Di London

Penderitaan Mohamad Sahar mula menarik perhatian beberapa pihak dari Malaysia dan luar negara dengan bantuan kewangan tidak putus-putus disalurkan bagi meringankan beban beliau.

Tinjauan kami juga mendapat ada yang membuat sumbangan dengan amaun yang banyak iaitu £5,000 dan £1,000.

Warga Prihatin Biayai Kos Perubatan Rakyat Malaysia Di London

Mohamad Sahar yang juga merupakan Ketua Kerani di Kolej Kemahiran TInggi Mara (KKTM), Negeri Sembilan itu difahamkan akan dibawa pulang ke Malaysia kerana kos rawatan yang lebih murah namun masih menunggu kelulusan daripada pihak hospital dan Malaysia Airlines Berhad (MAB).

“Ayah sekarang berada di Unit Hyper Acute Stroke (HASU) kerana dia perlu menjalani sesi terapi. Doktor sudah memberi keizinan untuk kami membawa pulang ayah, tetapi dengan syarat dia perlu berbaring di pengusung sepanjang masa dan perlu ditemani doktor serta jururawat.

“Malaysia Airlines pula mencadangkan agar kami membeli beberapa tempat duduk kelas Ekonomi kerana ia antara pilihan yang murah, dan sekarang ini masih menanti maklum balas selanjutnya daripada mereka,” katanya.

Bagi rakyat Malaysia yang mahu memberikan bantuan, boleh menyalurkannya menerusi www.gofundme.com/saharnoor. – MYNEWSHUB.CC

Sumber: Gofundme

Loading...