Warga Indonesia Berdepan Tuduhan Bunuh Lelaki Tempatan

KOTA TINGGI – Seorang pendatang asing tanpa izin (PATI) warga Indonesia dihadapkan ke Mahkamah Majistret di sini, hari ini, atas tuduhan membunuh seorang lelaki tempatan di Ladang Kambau, Tanjung Sedili, dekat sini, 4 Nov lepas.

Zainul Watoni, 31, yang berasal dari Lombok itu bagaimanapun tidak membuat sebarang pengakuan ketika pertuduhan dibacakan di hadapan Majistret Mazana Sinin dan sekadar menggngguk kepala tanda faham.

Berdasarkan kertas pertuduhan, dia didakwa dengan niat melakukan bunuh dan menyebabkan kematian terhadap Rizal Muhamad, 37, antara pukul 7.15 malam hingga 10 malam.

Kesalahan dilakukan berdekatan tepi jalan Pintu Palang Blok 5, Petak D12, Ladang Kambau di Tanjung Sedili.

Berikutan itu, dia didakwa mengikut Seksyen 302 Kanun Keseksaan yang jika sabit dengan kesalahan, boleh dihukum gantung sampai mati.

Selain pertuduhan itu, Zainul juga berdepan pertuduhan tidak memiliki apa-apa pas yang sah yang dikeluarkan mengikut undang-undang untuk masuk ke negara ini.

Dia didakwa melakukan perbuatan itu di simpang masuk Kampung Perpat, Mukim Sedili di sini, pukul 8.04 malam, 9 Nov lepas.

Pertuduhan berkenaan dibuat mengikut Seksyen 6(1)(C) Akta Imigresen 1959/63.

Bagaimanapun, ketika pertuduhan dibacakan di hadapan majistret sama, Zainal mengaku tidak bersalah dan mohon dibicarakan.

Mahkamah menetapkan 24 Dis ini sebagai tarikh sebutan semula kes bagi mendapatkan laporan bedah siasat dan serahan dokumen berkaitan.

Kedua-kedua pendakwaan hari ini dilakukan oleh Timbalan Pendakwa Raya Muhammad Mohd Nasir manakala tertuduh tidak diwakili peguam.

Sebelum ini, media tempatan melaporkan seorang lelaki ditemui mati dengan kesan tikaman dan kelar di seluruh tubuh dalam lubang tadahan air di Ladang Kambau pada 4 Nov. – BERNAMA