Warga Emas Maut Kereta Terbabas Masuk Gaung

IPOH – Seorang warga emas maut apabila kereta yang dinaikinya terbabas dan jatuh ke dalam gaung di Batu 25 Jalan Tapah-Cameron Highlands semalam.

Kemalangan berlaku kira-kira pukul 6.50 petang itu menyebabkan mangsa, Awang Kechik Dollah, 75, dari Kampung Manik Urai Lama, Kuala Krai meninggal dunia di tempat kejadian selepas tercampak keluar dari tempat duduk penumpang hadapan kenderaan tersebut.

Pemandu lelaki kereta berkenaan berusia 32 tahun yang merupakan menantu kepada mangsa serta empat lagi ahli keluarga lain bagaimanapun hanya menerima rawatan pesakit luar.

Ketua Polis Daerah, Superintenden Wan Azharuddin Wan Ismail berkata, siasatan awal mendapati kereta yang dinaiki mangsa sedang dipandu dari arah Kuala Lumpur menghala ke Cameron Highlands sewaktu kejadian.

“Apabila tiba di lokasi kejadian, dipercayai kereta tersebut telah hilang kawalan dan jatuh ke dalam gaung sedalam 500 meter.

“Ekoran kemalangan itu, mangsa maut di tempat kejadian setelah tercampak keluar dari kereta berkenaan. Pihak bomba berjaya mengeluarkan semua mangsa,” katanya di sini hari ini.

Tambah beliau, semua mangsa dirawat di Hospital Sultanah Hajjah Kalsom, Cameron Highlands sementara mayat mangsa dibawa ke Hospital Tapah untuk bedah siasat.

Kes disiasat di bawah Seksyen 41 (1) Akta Pengangkutan Jalan 1987.

Loading...