Warga Emas Diperintah Bela Diri Jadi Keldai Akaun

KLANG – Seorang wanita warga emas yang menjadi keldai akaun diperintah membela diri oleh Mahkamah Majistret di sini hari ini atas tuduhan menyembunyikan wang berjumlah RM22,600, tiga tahun lalu.

Majistret Muhammad ‘Azzam Zainal Abidin membuat keputusan itu terhadap Zaiton Sidek, 61, selepas pihak pendakwaan berjaya membuktikan prima facie pada akhir kes pendakwaan itu.

Dalam penghakiman, Muhammad ‘Azzam menegaskan tertuduh memiliki kawalan penuh terhadap akaun tersebut kerana merupakan miliknya.

“Transaksi pengeluaran berjumlah RM22,600 berlaku daripada akaun bank milik tertuduh,” jelasnya.

Mengikut pertuduhan, Zaiton didakwa dengan curang telah menyembunyikan wang berjumlah RM22,600 yang dimasukkan seorang wanita berusia 48 tahun dalam akaun bank miliknya.

Kesalahan itu dilakukan di sebuah bank di Kota Kemuning di antara 25 hingga 27 April 2016.

Justeru, dia didakwa mengikut Seksyen 424 Kanun Keseksaan yang memperuntukkan hukuman penjara sehingga lima tahun, denda atau kedua-duanya sekali.

Pendakwaan dikendalikan Timbalan Pendakwa Raya, Suhaili Abu Bakar telah mengemukakan empat saksi manakala Peguam Khairul Naim Rafidi mewakili Zaiton.

Mahkamah kemudiannya menetapkan 21 Jun depan bagi bicara bela diri dan Zaiton memilih untuk memberi keterangan bersumpah dari kandang saksi. – K! ONLINE

Loading...