Warga Emas 100 Tahun Sambut TBC Dalam Suasana Berbeza

KUALA TERENGGANU – Sambutan Tahun Baharu Cina pada hujung minggu ini pastinya amat janggal buat seorang warga emas Lim Seng.

Di kala umurnya genap 100 pada tahun ini, Lim atau lebih mesra dipanggil Po Po Lim (bahasa Mandarin Po Po bermaksud nenek) buat pertama kalinya tidak dapat menyaksikan tarian singa, tarian naga serta perarakan tanglung seperti kebiasaan perayaan Tahun Baharu Cina.

Lebih menyedihkan, Lim yang menyambut ulang tahun kelahiran pada Sabtu lepas, terpaksa meraikan Tahun Baharu Cina tanpa kehadian kesemua anak, cucu dan cicitnya susulan pelaksanaan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP).

“Memang sedih sebab anak-anak saya ada yang tinggal di Singapura dan Kuala Lumpur serta cucu di England. Selalunya, mereka akan balik seminggu sebelum raya untuk bantu kemas rumah dan sebagainya.

“Tapi saya tidak boleh marah mereka kerana ada penyakit (COVID-19) yang menghalang mereka pulang ke kampung. Saya harap tahun depan penyakit sudah hilang, saya pun boleh raya dengan meriah seperti sebelum ini,” katanya kepada Bernama di rumah kedainya di Kampung Cina di sini.

KUALA TERENGGANU, 22 Jan — Warga emas, Lim Seng, 99, menunjukkan gambarnya ketika remaja semasa ditemui Bernama di kediamannya di sebuah rumah kedai di Kampung Cina. Lim, yang mudah tersenyum dan ketawa itu, turut dikenali dengan sikapnya yang menjaga penampilan setiap hari, walaupun hanya berada di rumah. Dia akan memastikan pakaian yang dipakainya sentiasa kemas, sering mengenakan bedak di muka, memakai minyak wangi dan rambutnya akan disisir serta disanggul rapi. — fotoBERNAMA (2020) HAK CIPTA TERPELIHARA

Bagaimanapun, Lim yang mempunyai tiga anak, 10 cucu dan lapan cicit tetap bersyukur kerana acara makan besar pada petang Khamis ini masih dibenarkan meskipun terhad kepada 15 ahli keluarga terdekat yang tinggal dalam zon lingkungan 10 kilometer. 

Menurut Lim, biarpun acara makan besar nanti hanya ditemani anak lelakinya Poh Tik Heng, 71, dan menantu Fu Sek Sue, 64, serta tiga cucu yang tinggal bersamanya namun dia tetap akan menyediakan menu wajib Ayam Kam Heong yang menjadi kegemaran seisi keluarga.

“Selalunya saya akan masak 10 ekor ayam untuk menu masakan ini namun apabila ramai ahli keluarga tidak dapat balik mungkin saya masak dalam seekor atau dua ekor ayam sahaja. Baju raya pun saya tidak buat tahun ini kerana bukan sahaja sebab PKP tetapi kerana rasa sudah tua untuk ada baju raya,” katanya sambil ketawa.

Lim yang berhijrah ke Terengganu dan tinggal di Kampung Cina sejak lebih 70 tahun lepas setelah mengikut mendiang suami Poh Chew Say yang bekerja membawa kapal laut, berkata sepanjang tempoh PKP ini dia tetap berhubung dengan anak, cucu dan cicitnya melalui panggilan video.

“Orang sekarang sangat bertuah, walaupun tinggal jauh tetapi hari-hari boleh jumpa (panggilan video), kalau zaman dahulu hendak tanya khabar pun perlu melalui surat yang kadang kala ambil masa berbulan-bulan untuk sampai ke tangan ahli keluarga,” katanya.

Ditanya harapannya sempena Tahun Baharu Cina, Lim yang masih sihat tanpa sebarang penyakit berkata beliau sentiasa berdoa semoga pandemik COVID-19 segera berakhir dan keadaan kembali seperti biasa supaya ahli keluarga dapat berkumpul semula. – BERNAMA