Warga China Tak Mengaku Langgar Mati Kakitangan MBPP

GEORGETOWN – Seorang wanita warga China dihadapkan ke Mahkamah Majistret, hari ini atas tuduhan memandu dalam keadaan mabuk sehingga menyebabkan seorang penunggang motosikal maut di Jalan Datuk Keramat, Jumaat lalu.

Liu Shasha, 24, mengaku tidak bersalah sebaik pertuduhan dibacakan dalam bahasa Mandarin di hadapan Majistret Rosnee Mohd Radzuan.

Mengikut pertuduhan, Liu didakwa memandu kereta di bawah pengaruh alkohol atau dadah yang menyebabkan dia tidak berdaya mengawal kenderaan sehingga membawa kepada kematian seorang penunggang motosikal di Jalan Datuk Keramat.

Kesalahan didakwa dilakukan di Jalan Datuk Keramat kira-kira jam 6.25 pagi pada 25 Oktober lalu.

Tertuduh didakwa melakukan kesalahan itu mengikut Seksyen 44(1) Akta Pengangkutan Jalan (APJ) 1987.

Mahkamah tidak membenarkan jaminan terhadap tertuduh dan menetapkan 8 November ini sebagai sebutan semula kes bagi tujuan pengesahan ketulenan pasportnya daripada Jabatan Imigresen Malaysia.

Kes dikendalikan Timbalan Pendakwa Raya, Nabila Huda Muhammad Nazim manakala tertuduh diwakili peguam A Ashok.

Sementara itu, seorang lelaki yang juga pemilik kereta berkenaan turut dihadapkan ke mahkamah sama atas kesalahan membenarkan kenderaan dipandu tertuduh.

Tukang masak, Garrett Lim Nian Siang, 23, mengaku bersalah selepas pertuduhan dibacakan terhadapnya di hadapan Rosnee.

Rosnee menjatuhkan hukuman denda RM1,500 terhadap tertuduh yang ketika kejadian berada di tempat penumpang hadapan.

Garrett didakwa melakukan kesalahan itu mengikut Seksyen 26 APJ 1987 pada waktu dan tempat sama.

Bagi kesalahan itu, dia boleh didenda tidak kurang RM300 dan tidak lebih RM2,000 atau penjara tiga bulan.

Dalam kejadian itu, kakitangan Majlis Bandaraya Pulau Pinang (MBPP), Mohaidin Gani Mohamad, 58, maut selepas motosikal ditunggang dirempuh kereta dipandu wanita warga China.

Loading...