Warga Asing Lolos Tak Boleh Kembali Ke Malaysia

PUTRAJAYA – Kerajaan akan memperhebatkan Op Benteng di semua sempadan negara, bagi memastikan warga asing yang lolos keluar untuk berhari raya di negara mereka, tidak akan kembali ke Malaysia.

Menteri Kanan (Kluster Keselamatan), Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob berkata, operasi dan pemantauan oleh pihak berkuasa akan dipertingkat dan diperketatkan, terutama di lorong-lorong tikus masuk ke negara ini, bagi mengekang penularan kes import wabak COVID-19.

“Sebagai contoh warga dari Indonesia yang ada permit bekerja di sini pulang berhari raya di negara mereka, bila mereka pulang, kita takkan benarkan mereka kembali lagi ke negara ini.

“Ini kerana dasar kita ketika PKP ini ialah tidak membenarkan sama sekali mereka pulang ke sini, untuk mengelakkan kes import,” katanya pada sidang media harian perkembangan Perintah Kawalan Pergerakan Bersyarat (PKPB) di sini hari ini.

MATI PUCUK? DAPAT RAWATAN SEGERA… KLIK

Op Benteng yang melibatkan Angkatan Tentera Malaysia (ATM), Polis Diraja Malaysia (PDRM), Agensi Penguatkuasaan Maritim Malaysia (APMM) dan Agensi Keselamatan Sempadan Malaysia (AKSEM), adalah bagi mengawal ketat sempadan negara secara bersepadu daripada dibolosi PATI, bagi mengekang jenayah rentas sempadan selain menyekat penularan wabak COVID-19. 

Ismail Sabri berkata, sejak 1 Mei sehingga semalam, seramai 327 pendatang tanpa izin dan 41 tekong ditahan, kerana cuba memasuki sempadan negara secara haram, terutama melalui lorong tikus. 

“Turut ditahan tujuh individu yang disyaki penyeludup serta tujuh buah kapal. Agensi penguatkuasaan juga berjaya mengusir 86 pendatang tanpa izin, tiga tekong serta tiga buah kapal, yang cuba membolosi kawasan sempadan negara,” katanya.

Mengulas lanjut beliau berkata, menerusi Op Benteng juga, 1,515 warganegara asing yang menceroboh sempadan negara telah ditahan.

“Kerajaan akan mengambil tindakan tegas terhadap mana-mana pihak yang cuba memasuki sempadan negara secara haram.

“Agensi-agensi penguatkuasa akan terus mengetatkan kawalan kawasan sempadan, terutamanya di lorong-lorong tikus,” katanya.

Loading...