Waran Tangkap Shahidan – Inilah `Malaysia Baharu’

KUALA LUMPUR – Pemimpin kanan DAP, Hannah Yeoh megucapkan tahniah kepada Polis Diraja Malaysia kerana mendapatkan perintah waran tangkap keatas…

KUALA LUMPUR – Pemimpin kanan DAP, Hannah Yeoh megucapkan tahniah kepada Polis Diraja Malaysia kerana mendapatkan perintah waran tangkap keatas bekas Menteri di Jabatan Perdana Menteri, Datuk Seri Shahidan Kassim.

Beliau yang juga Timbalan Menteri Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat kerajaan Pakatan Harapan (PH) berkata, tindakan PDRM tanpa gentar dan memihak apa yang beliau bayangkan tentang `Malaysia Baharu’.

“Ini adalah `Malaysia Baharu’ yang saya bayangkan dalam fikiran saya. Sebuah tempat yang selamat untuk kanak-kanak Malaysia,” katanya dalam satu kenyataan di Facebook hari ini.

Mahkamah Sesyen Kangar hari ini mengeluarkan waran tangkap terhadap Shahidan Kassim kerana gagal hadir bagi menghadapi pertuduhan kes dakwaan mencabul seorang gadis bawah umur berusia 15 tahun.

Media baru-baru ini melaporkan Shahidan yang juga Ahli Parlimen Arau didakwa mencabul seorang gadis berusia 15 tahun yang merupakan ahli kumpulan buskers.

Shahidan menafikan perbuatan itu dan laporan polis terhadapnya oleh remaja tersebut itu juga telah ditarik balik.

Peguam belanya, Syed Muhammad Anwar Syed Lokman Hakim membantah pengeluaran waran itu kerana mendakwa anak guamnya tidak dimaklumkan mengenainya lebih awal.

Difahamkan, Shahidan berada di Mekah untuk menunaikan umrah sewaktu waran tangkap itu dikeluarkan. – Mynewshub.tv

Loading...