Wanita Rugi RM1.6 Juta Ditipu Love Scam

SHAH ALAM – Seorang pengurus syarikat automobil di Shah Alam yang baharu menjalinkan hubungan selama enam bulan dengan seorang lelaki warga Afrika kerugian RM1.6 juta akibat ditipu suspek yang merupakan dalam utama ‘love’ dan ‘parcel scam’.

Wanita berusia 62 tahun, yang masih bersuami dan mempunyai beberapa orang anak itu pada mulanya berkenalan dengan suspek berusia 36 tahun dari Ghana di Facebook, sebelum akhirnya bercinta.

Namun, episod penipuan suspek bermula pada Mac lalu apabila lelaki Ghana itu mendakwa dia mengalami kerugian dalam perniagaan, sebelum meminta wanita terbabit menolongnya menjelaskan hutang perniagaannya dan berjanji akan membayarnya semula.

Ketua Polis Daerah Shah Alam, Asisten Komisioner Baharuddin Mat Taib berkata, selepas beberapa proses transaksi berlaku, suspek kemudian mendakwa pula duit yang hendak dibayar semula kepada mangsa dalam mata wang dollar Amerika Syarikat (AS) telah ditahan pihak Kastam.

“Terpedaya dengan penipuan tersebut, mangsa kemudiannya sekali lagi diminta membayar duit kepada beberapa pihak yang kononnya dapat membantu lepas daripada tahanan Kastam dan jumlah paling besar dibuat mangsa adalah RM400,000, yang dibuat secara tunai.

“Bagaimanapun, menyedari diri ditipu, mangsa akhirnya membuat laporan polis pada 13 April lalu dan bertindak daripada itu, polis Bahagian Jenayah Komersial IPD Shah Alam bersama IPD Ampang telah berjaya memberkas tiga suspek di Ampang pada 17 April lalu,” katanya dalam sidang akhbar di sini, hari ini.

Kata Baharuddin, selain suspek utama, dua lagi lelaki Afrika yang ditahan adalah warga Republik Guinea dan kedua-duanya berusia 34 tahun, dengan polis turut merampas sejumlah RM30,000 wang tunai, sebuah kereta Lexus, komputer riba serta sejumlah telefon bimbit.

“Kesemua suspek kini direman sehingga lusa dan kita sedang giat mengesan beberapa lagi mangsa yang pernah menjadi mangsa penipuan sindiket ini tetapi malu untuk tampil ke hadapan,” ujarnya.