Wanita OKU Warga Emas Rentung Kebakaran Di Ipoh

IPOH – Seorang wanita orang kelainan upaya (OKU) warga emas maut selepas rentung di atas katil di rumahnya dalam kebakaran di Jalan Besi, Kampung Baru Buntong di sini awal pagi tadi.

Dalam kejadian kira-kira pada pukul 6.45 pagi itu, difahamkan mangsa, Lee Soo Nooi, 66, yang buta sebelah mata akibat kemalangan itu tinggal di rumah sendirian manakala adiknya tidak berada di rumah pada waktu kejadian.

Ketua Balai Bomba dan Penyelamat Ipoh, Mohd. Subri Hussin berkata, pihaknya menerima panggilan kecemasan daripada orang awam pada pukul 6.56 pagi sebelum sepasukan anggota bergegas ke tempat kejadian.

“Tiba di lokasi, operasi pemadaman terus dilakukan bagi mengelakkan kebakaran daripada merebak ke rumah bersebelahan.

“Anggota berjaya mengawal kebakaran dalam tempoh 10 minit dan anggota menemui mayat mangsa di atas katil di dalam bilik rumah tersebut,” katanya ketika ditemui pemberita di lokasi kejadian sebentar tadi.

Turut hadir ke lokasi kejadian, Pengarah Jabatan Bomba dan Penyelamat Perak, Azmi Osman.

Tambah Mohd. Subri, mayat mangsa hangus kira-kira 95 peratus manakala kebakaran telah memusnahkan 70 peratus rumah berkenaan.

“Anggota kemudian menyerahkan mayat mangsa kepada pihak polis untuk tindakan lanjut.

“Punca kejadian dan anggaran kerugian masih dalam siasatan,” katanya. – K! ONLINE