Wanita OKU Kongsi Kisah Dakwa Dipukul Suami

ARUS perkembangan teknologi kini membuka ruang baharu kepada netizen untuk membuat ‘laporan’ secara terbuka mengenai keganasan rumah tangga tanpa perlu ke balai polis.

Ini kisah rumah tangga yang dikongsi dalam laman Facebook apabila seorang wanita kurang upaya (OKU) mendakwa dirinya dipukul suami hingga bibirnya berdarah.

Status tersebut dikongsikan pemilik akaun Facebook, Fauziah Abd Samad yang turut disertakan dengan sekeping gambar mangsa yang sedang menangis serta bibir berdarah.

“Polis Diraja Malaysia (Royal Malaysia Police) sila ke alamat ini, Wanita ini OKU dipukul suami,” tulisnya yang turut disertakan alamat mangsa di Taman Desa Wangsa, Cheras, Selangor.

Wanita OKU Kongsi Kisah Dakwa Dipukul Suami

Wanita tersebut mahukan Polis Diraja Malaysia (PDRM) mengambil tindakan dengan menjalankan siasatan terhadap dakwaan tersebut.

Sementara itu, Ketua Polis Daerah Kajang, ACP Othman Nanyan berkata, pihaknya menerima laporan mengenai kejadian tersebut yang membabitkan seorang wanita OKU mendakwa dicederakan suaminya.

Menurutnya, dalam kejadian kira-kira 7.30 petang semalam, mangsa yang berusia 45 tahun itu ditampar di kedua-dua belah pipinya beberapa kali oleh suaminya di luar rumahnya di Batu 9 Cheras hingga pengsan.

“Pergaduhan di antara mangsa yang juga suri rumah itu berlaku atas sebab peribadi.

“Orang ramai yang mempunyai sebarang maklumat diminta menyalurkannya kepada pihak polis dan tidak membuat sebarang spekulasi berhubung perkara ini,” katanya dalam satu kenyataan.

Jelasnya, kes disiasat mengikut Seksyen 323 Kanun Keseksaan kerana sengaja mendatangkan cedera, yang jika disabitkan kesalahan boleh dihukum penjara hingga setahun, atau denda RM2,000 atau kedua-duanya. – MYNEWSHUB.CC

*Video sekadar hiasan.

Leave a Reply