Wanita OKU Dilarang Naik Pesawat Di Hong Kong

HONG KONG – Seorang wanita yang berkerusi roda kerana lumpuh tidak dibenarkan menaiki sebuah pesawat di Lapangan Terbang Antarabangsa Hong Kong dengan alasan dia mengembara seorang diri dan tidak boleh berjalan.

Shen Chengqing, 22, sepatutnya menaiki pesawat Hong Kong Airlines dari bandar ini menuju ke Tianjin di timur laut China pada malam kelmarin.

Bagaimanapun, selepas tiba di lapangan terbang itu dan menunggu selama tiga jam setengah, kakitangan syarikat penerbangan menghalang dia mendaftar masuk kerana Shen berkerusi roda dan tidak ditemani sesiapa.

“Saya berasa sangat marah dan tertekan. Saya tidak faham mengapa perkara sebegini terjadi di Hong Kong,” kata Shen.

Menurut South China Morning Post, menerusi rakaman audio yang dirakam Shen, seorang petugas wanita jelas mengatakan Shen tidak dibenarkan mendaftar masuk kerana dia tidak boleh berjalan.

“Dia berkerusi roda justeru kami enggan membiarkan dia menaiki kapal terbang berseorangan,” kata kakitangan wanita itu kepada sahabat Shen yang menghantarnya ke lapangan terbang.

Bagaimanapun, menurut Shen, sebelum kejadian dia sudah memaklumkan kepada syarikat itu mengenai keadaannya yang berkerusi roda.

Menurut laman web syarikat penerbangan itu, penumpang dibenarkan untuk mendaftar masuk dengan kerusi roda.

Walaupun atendan penerbangan boleh membantu penumpang yang berkerusi roda untuk duduk di kerusi, mereka tidak membantu penumpang berkaitan penjagaan diri termasuk menggunakan tandas dan mengambil ubat atas dasar keselamatan.

“Disebabkan itu, kami mengesyorkan penumpang agar ditemani rakan yang boleh menjaga mereka sepanjang penerbangan,” kata laman web itu. – Agensi