Wanita Nafi Isteri Ke-2 Najib Buat Laporan Polis

KUALA LUMPUR – Seorang wanita yang sebelum ini didakwa menjadi isteri kedua kepada bekas Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Razak, akhirnya tampil bersuara dengan membuat laporan polis berhubung perkara terbabit.

Ketua Polis Daerah Wangsa Maju, Superintendan Rajab Ahad Ismail, ketika dihubungi mengesahkan ada menerima laporan daripada wanita berusia lingkungan usia 50-an berkenaan, semalam.

“Wanita itu membuat laporan bagi menafikan perkara itu (isteri kedua kepada Najib).

“Kes itu kemudian dirujuk kepada Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia (SKMM) untuk tindakan lanjut memandangkan tiada unsur jenayah,” katanya ketika dihubungi, di sini, hari ini.

Beberapa hari lalu, sekeping gambar wanita berkenaan bersama Najib didapati tersebar di media sosial, yang mendakwa Ahli Parlimen Pekan itu kini mempunyai isteri kedua, selain Datuk Seri Rosmah Mansor.

Setakat ini, Najib atau Rosmah belum tampil menafikan perkara itu, namun ‘berita’ berkenaan meraih pelbagai reaksi dalam kalangan orang ramai, termasuk ada yang menzahirkan ucapan tahniah. – BH Online

Loading...