Wanita Maut Disergah, Rumah Pula Terbakar

IPOH – Gara-gara terkejut disergah sekumpulan lelaki, seorang wanita rebah sebelum disahkan meninggal dunia akibat sakit jantung ketika rawatan di Hospital Raja Permaisuri Bainun (HRPB) di sini malam tadi.

Dalam kejadian kira-kira 8 malam itu, mangsa, M Abiramy, 45, didatangi lapan lelaki mencari anaknya berusia 23 tahun di rumahnya di Jalan New Delhi, Kampung Baru Buntong di sini.

Pemangku Ketua Polis Ipoh, Superintendan Mohamad Nordin Abdullah berkata, siasatan awal mendapati anak lelaki mangsa dipercayai terlibat dalam satu pergaduhan di sebuah kuil kerana salah faham berkaitan lembu peliharaan suspek.

“Rentetan daripada pergaduhan itu kumpulan terbabit telah pergi ke rumah mangsa lalu berlaku kekecohan hingga memecahkan cermin kereta.

“Bagaimanapun salah seorang suspek telah mengetuk pintu pagar dengan kuat menyebabkan mangsa yang berdiri di depan pagar terkejut lalu pengsan sebelum disahkan meninggal dunia 15 minit kemudiannya,” katanya.

Mohamad Nordin berkata, suspek turut bertindak agresif apabila bertindak membakar sebuah kereta jenis Honda Accord milik ahli keluarga mangsa.

“Berdasarkan laporan, api marak dari kenderaan itu telah merebak ke pokok mangga lalu menyambar rumah mangsa menyebabkan ia musnah keseluruhan. Bagaimanapun tiada mangsa lain terlibat apabila semua berada di hospital.

“Pasukan Forensik IPK (Ibu Pejabat Polis Kontinjen) Perak dan JBPM (Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia) dipanggil menjalankan siasatan serentak di lokasi kejadian,” katanya.

Katanya, usaha mengesan kesemua suspek sedang dijalankan dan siasatan dilakukan mengikut Seksyen 304 Kanun Keseksaan iaitu bunuh tanpa niat.

Loading...