Wanita Kritikal Selepas Toreh Badan, Bakar Diri

SEORANG wanita berada dalam keadaan kritikal dengan 40 peratus badannya melecur setelah membakar diri sendiri selain menoreh badan dengan pisau dalam kejadian di sebuah kuarters kerajaan di Jalan Ayer Itam, di Georgetown semalam.

Ketua Polis Daerah Timut Laut, ACP Che Zaimani Che Awang berkata wanita berusia 30 tahun itu yang disahkan mengalami masalah mental, kini dirawat di Hospital Besar Pulau Pinang.

“Kejadian disedari oleh abang mangsa berusia 32 tahun kira-kira 11.30 pagi semalam,” katanya.

Menurutnya polis difahamkan ibu mangsa tiada di rumah semasa kejadian kerana menghantar anak bongsu belajar di Kuala Lumpur.

“Abang mangsa yang menemui mangsa dalam keadaan berlumuran darah dipercayai selepas menoreh badannya dengan pisau bertindak menghubungi ambulans dan polis,” katanya.

Bagaimanapun menurutnya abang mangsa mendengar wanita itu memanggil namanya sebelum itu membakar diri menggunakan petrol.

“Mangsa dapat diselamatkan oleh abangnya serta dua anggota polis yang tiba tidak lama kemudian,” katanya.

Beliau berkata mangsa disahkan mengalami masalah mental dan kali terakhir menerima rawatan di klinik psikiatri minggu lepas. – BERNAMA

Loading...