Wanita Jadi ‘Stalker’ Menakutkan, Selepas Cintanya Ditolak Jutawan

SEORANG wanita yang cintanya tak berbalas oleh lelaki yang ditemuinya di laman web janji temu jutawan ditahan.

Wanita itu didakwa memburu lelaki berkenaan dan menghantar 159,000 mesej teks yang tidak diingini.

Jacquelyn Ades, dari Florida, juga didakwa mengugut ketua eksekutif syarikat penjagaan kulit itu dengan memberitahunya: “Saya akan buat sushi dengan buah pinggang kamu dan buat chopstik dengan tulang tangan kamu.”

Pakar kecantikan berusia 31 tahun itu sedang menunggu perbicaraan atas tuduhan ‘mengintip’ dan perlanggaran jenayah di Arizona, Amerika Syarikat.

Dalam satu siri mesej teks yang mencetuskan gangguan, dia didakwa membuat ancaman seperti ‘Oh apa yang akan saya buat dengan darah kamu! Saya nak mandi di dalamnya’ dan banyak lagi.

Ades ditangkap pada Mei selepas muncul di tempat kerja lelaki itu dan mengaku dia adalah isterinya.
Sebulan sebelum dia ditangkap ketika sedang mandi di rumah lelaki tersebut semasa dia berada di luar negara.

Wanita ini mengganggu lelaki yang dikenalinya dengan ribuan mesej teks. – Foto Magicaldelight/IG

Mereka hanya pernah bertemu hanya sekali sahaja pada janji temu pertama, lapor Daily Mail, tetapi lelaki itu yang hanya dikenal pasti sebagai CEO sebuah syarikat di kawasan Scottsdale tidak berminat untuk meneruskan hubungan dengannya.

Bagaimanapun Ades tetap menghantar beribu-ribu mesej dan kadang-kadang sehingga 500 mesej sehari.

Dia ditangkap pada Mei 2018 atas tuduhan mengintip dan menceroboh.

Polis pada masa itu percaya dia telah menghantar sebanyak 65,000 mesej selama 10 bulan.

Tetapi siasatan selanjutnya mendapati jumlah mesej yang dihantar adalah lebih dari dua kali ganda.

Ades berkata dia bertemu lelaki itu melalui Luxy, sebuah perkhidmatan janji temu untuk ramai jutawan.

Ahli perniagaan itu menghubungi polis pada Julai 2017 apabila dia melihat kereta wanita berkenaan diletakkan di luar rumahnya di Paradise Valley.

Dia didakwa terus menghantar mesej ugutan dan pada April tahun lepas memutuskan untuk mandi di rumah mangsa.

Lelaki itu dikatakan melihatnya melalui video pengawasan rumah semasa dia berada di luar negara dan menghubungi polis, yang menemuinya di dalam tab mandi.

Wanita itu juga didakwa juga menyimpan pisau di tempat duduk penumpang dalam keretanya.

Foto Jabatan Polis Valley

Menjelaskan apa yang dibuat di rumah lelaki itu, dia dilaporkan memberitahu polis: “Saya rasa saya membuat keseluruhan senario yang ada dalam kepala saya yang menyatakan saya tinggal di sini, jadi saya datang ke sini dan berpura-pura ia berlaku.”

Apabila ditanya lebih lanjut untuk menjelaskan apa yang dimaksudkannya, dia mula merujuk persamaan saintifik.

Susulan kejadian itu, dia didakwa terus menghantar mesej: “Kamu buat apa sahaja yang perlu kamu buat, tapi jangan pernah cuba tinggalkan saya. Saya akan bunuh kamu. Saya tak mahu jadi pembunuh.”

Selepas ditahan pada Mei, dia memberi jaminan kepada polis bahawa dia tidak berniat untuk mencederakan lelaki itu dan ia adalah sesuatu yang terlintas di kepalanya ketika dia menghantar teks-teks tersebut, yang dianggap lucu.

Dia memberitahu polis bahawa dia faham lelaki itu tidak mahu bersamanya dan tahu mesejnya itu tidak normal.

“Tak kisahlah kalau itu yang dia rasa.

“Seseorang yang lain harus mencintainya, dia ada segalanya untuk dicintai, dia sangat comel, saya tak percaya dia takut dengan saya.”

Rekod polis menyenaraikan Ades menunjukkan tanda-tanda penyakit mental.

Dia kini ditahan di Penjara Maricopa County menjelang perbicaraan yang dijadualkan pada Februari. – Mirror

Loading...