Wanita Ditahan Buang Pasu Bunga Dari Tingkap Flat

SEORANG wanita warga Singapura ditangkap kerana didapati membuang pasu bunga, papan kayu, jubin marmar dan beberapa barangan lain terus dari tingkap bilik tidur rumahnya sebuah flat awam.

Mengikut laporan polis semalam, mereka telah menerima beberapa aduan mengenai barangan jatuh dibuang dari blok rumah flat tersebut sejak Julai yang lalu.

Selepas melakukan siasatan, polis berjaya mengenal pasti identiti suspek dan telah menahannya semalam sekitar pukul 2.30 petang di rumahnya.

Wanita tersebut akan didakwa di sebuah mahkamah pada hari ini di bawah akta kesalahan melakukan tindakan ganas yang membahayakan.

Jika disabit kesalahan, wanita tersebut boleh dipenjara selama 6 bulan, denda S$2,500 (RM7,474) atau kedua-duanya sekali.

Pihak polis juga memberitahu bahawa satu perintah mahkamah akan diminta untuk menahan wanita tersebut menjalankan ujian psikiatrik di Institut Kesihatan Mental Singapura. – MYNEWSHUB.CC