Wanita Disamun 2 Lelaki Bersenjatakan Parang

SEORANG wanita kerugian RM7,000 selepas seutas gelang emasnya disamun dua lelaki bersenjatakan parang dihadapan rumahnya di Taman Sri Gombak di…

SEORANG wanita kerugian RM7,000 selepas seutas gelang emasnya disamun dua lelaki bersenjatakan parang dihadapan rumahnya di Taman Sri Gombak di sini semalam.

Dalam kejadian pukul 2 petang, mangsa berusia 52 tahun itu dikatakan mahu keluar dari rumah sebelum didatangi dua lelaki menunggang motosikal jenis Yamaha Y15.

Timbalan Ketua Polis Daerah Gombak, Superintendan Arsad Kamaruddin berkata, suspek bertindak menarik gelang di tangan kanan mangsa sebelum melarikan diri.

“Akibat kejadian itu mangsa mengalami kecederaan ringan dan anggaran kerugian bernilai RM7,000.

“Usaha memburu suspek sedang dijalankan dan kes disiasat mengikut Seksyen 395/397 Kanun Keseksaan kerana melakukan samun berkumpulan menggunakan senjata,” katanya ketika dihubungi Kosmo! Online hari ini.

Terdahulu, kejadian samun itu tular di media sosial selepas rakaman televisyen litar tertutup (CCTV) di lokasi berkenaan dimuat naik sejak semalam.

Menerusi rakaman berdurasi 41 saat itu, dua suspek menunggang motosikal berwarna merah tersebut dilihat memberhentikan motosikal di belakang sebuah kereta Proton Satria yang diletakkan di depan rumah mangsa sebelum menyerang. – K! ONLINE

Loading...