Wanita, Bayi 8 Bulan Maut Nahas 6 Kenderaan

NIBONG TEBAL – Wanita bersama bayi perempuannya maut manakala tiga lagi dipercayai ahli keluarga mereka cedera dalam kemalangan enam kenderaan di Kilometer 160.9, Lebuhraya Utara Selatan, arah selatan, di sini, awal pagi tadi.

Mangsa ialah Siti Khadijah Haron, 33, dan Nur Qaireen Marissa Nor Azry yang baru berusia lapan bulan. Mereka yang menaiki PROTON Waja berasal dari Kuantan, Pahang.

Ketua Polis Daerah Seberang Perai Selatan, Superintendan Shafee Abd Samad, berkata kemalangan kira-kira jam 12.10 tengah malam itu membabitkan dua treler dan empat kereta termasuk sebuah jip jenis Volvo.

Katanya, kejadian dipercayai berpunca apabila treler dipandu lelaki berusia 39 tahun dipercayai hilang kawalan lalu melanggar belakang jip berkenaan sebelum melanggar pula PROTON Waja dinaiki lima penumpang menyebabkan kenderaan itu tersepit pada sebuah lagi treler yang berada di lorong kiri lebuh raya.

“Treler itu kemudian melanggar sebuah lagi kereta jenis PERODUA Bezza menyebabkan kenderaan itu bergerak dan melanggar pula kereta Honda City di hadapannya.

“Akibat perlanggaran itu, dua penumpang belakang kereta PROTON Waja iaitu wanita berusia 33 tahun (Siti Khadijah) dan bayi perempuan (Nur Qaireen Marissa) berusia lapan bulan meninggal dunia di tempat kejadian akibat parah di kepala dan dada,” katanya dalam satu kenyataan, hari ini.

Shafee berkata, tiga mangsa dalam PROTON Waja termasuk suami Siti Khadijah, Nor Azry Mohd Rosddin, 34, yang juga pemandu kereta itu hanya cedera ringan manakala mangsa kenderaan lain tidak mengalami sebarang kecederaan.

Beliau berkata, mayat dua beranak itu dibawa ke Hospital Sungai Bakap untuk bedah siasat pagi ini.

Katanya, kemalangan menyebabkan lebuh raya sesak sepanjang enam kilometer (km) arah ke selatan dan laluan kontra dibuka bagi melicinkan aliran trafik.

Beliau meminta saksi kejadian untuk tampil bagi membantu siasatan.

Siasatan lanjut masih dijalankan dan kes disiasat mengikut Seksyen 41(1) Akta Pengangkutan Jalan (APJ) 1987.

Sementara itu, jurucakap Pusat Gerakan Operasi (PGO) Jabatan Bomba dan Penyelamat Pulau Pinang memaklumkan, dua jentera dari Balai Bomba dan Penyelamat Nibong Tebal dan Sungai Bakap digerakkan ke lokasi sejurus menerima panggilan pada jam 12.14 tengah malam.

Katanya, dua mangsa yang tersepit dalam PROTON Waja dikeluarkan menggunakan peralatan khas pada jam 4.14 pagi.

“Operasi tamat sepenuhnya pada jam 5.15 pagi dan mayat diserahkan kepada polis untuk tindakan lanjut,” katanya. – BH Online

Loading...