Wani Peroleh Keputusan Cemerlang SPM 2017

TAHNIAH… Penyanyi, Wani Kayrie meluahkan rasa lega apabila berjaya mendapat keputusan cemerlang dalam peperiksaan Sijil Pelajaran Malaysia (SPM) 2017 yang diumumkan hari ini.

Memetik sumber, Mynewshub difahamkan penyanyi yang terkenal menerusi lagu Jangan Jangan itu telah berjaya mendapat keputusan 7A, 1B dan 1C+ dalam peperiksaan awam tersebut.

Pun begitu, menurut Wani atau nama sebenarnya Syazwani Abdullah, buat masa ini dia masih belum mahu meneruskan pengajian ke peringkat lebih tinggi disebabkan kekangan masa dan sibuk dengan jadual kerja padat.

“Memang saya mahu lanjutkan pelajaran dalam bidang Pengurusan Perniagaan, namun tahun ini saya perlu ke Amerika Syarikat untuk mewakili Malaysia ke pertandingan World Championships of Performing Arts (WCOPA)

“Jadi saya pilih untuk meneruskan pengajian pada tahun depan sahaja,” kata Wanie dipetik sebuah portal online.

Dalam pada itu ditanya mengenai strategi yang digunakan ketika menghadapi SPM tahun lalu, Wanie memberitahu fokus adalah perkara yang paling penting dan ia perlu ada dalam diri seorang pelajar.

Saya mahu membuktikan golongan artis juga sangat mementingkan pelajaran. Jadi untuk tahun lepas saya bercuti selama dua bulan dari nyanyian untuk memberi tumpuan kepada pelajaran saya.

“Walaupun saya menceburi bidang ini ketika masih terikat dengan tanggungjawab sebagai seorang pelajar namun itu bukan suatu masalah selagi kita mampu mengimbangi waktu kita dengan betul,” ujar Wanie.

Sementara itu, Wanie juga sempat menitipkan pesanan dan kata-kata semangat buat mereka kurang cemerlang agar jangan kecewa kerana SPM bukanlah penamat kepada segalanya.

“SPM bukan segalanya sebab di masa hadapan kita masih tidak tahu apa yang akan terjadi. Masih ada peluang untuk mereka membuktikan kemampuan mereka. Jadi jangan kecewa,” katanya.

Untuk Rekod, Wani merupakan salah seorang pelajar di Sekolah Menengah Kebangsaan (Perempuan) Sri Aman, Petaling Jaya, Selangor. – MYNEWSHUB.CC/AM