Wang RM407,011.46 Milik FORT Jadi Harta Kerajaan

20

KUALA LUMPUR – Wang berjumlah RM407,011.46 yang dibekukan daripada akaun bank milik Yayasan Penyelidikan Transformasi (FORT) yang didakwa berkaitan dengan skandal penyelewengan dana 1Malaysia Development Berhad (1MDB) kini menjadi harta kerajaan Malaysia.

Timbalan Pendakwa Raya daripada Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM), Farah Yasmin Salleh memaklumkan kepada mahkamah bahawa yayasan berkenaan selaku responden menyatakan persetujuan menyerahkan wang itu melalui surat bertarikh 9 Julai lepas.

“Saya memohon satu perintah agar harta alih iaitu wang RM407,011.46 yang disimpan dalam akaun semasa Bank Al Rajhi atas nama responden dilucut hak kepada kerajaan Malaysia,” kata Farah Yasmin pada prosiding kes itu hari ini.

Ahli Lembaga Amanah FORT, Zulkifli Jaafar yang hadir mewakili responden berkata, pihaknya tiada bantahan untuk wang tersebut dilucut hak kepada kerajaan.

Hakim Datuk Muhammad Jamil Hussin membenarkan wang RM407,011.46 daripada akaun Yayasan Penyelidikan Transformasi dilucut hak kepada kerajaan Malaysia.


Permohonan melucut hak itu dibuat pendakwaan mengikut Seksyen 56 (1) Akta Pencegahan Pengubahan Wang Haram, Pencegahan Pembiayaan Keganasan dan Hasil Daripada Aktiviti Haram (AMLATFPUAA) 2001.

Ketua Pesuruhjaya SPRM, Latheefa Koya dalam sidang akhbarnya baru-baru ini berkata, permohonan perlucutan hak telah difailkan terhadap 41 responden untuk memperoleh semula dana kira-kira RM270 juta yang mempunyai kaitan dengan 1MDB.

Latheefa berkata, tindakan itu diambil mengikut Akta Pencegahan Pengubahan Wang Haram dan Pencegahan Pembiayaan Keganasan 2001 (AMLA) yang mana suruhanjaya itu percaya wang berkenaan dipindahkan daripada akaun bank bekas Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak.