Wan Saiful Jadikan PTPTN Paling ‘Bangsat’

KUALA LUMPUR – Pengerusi Perbadanan Tabung Pendidikan Tinggi Nasional (PTPTN), Wan Saiful Wan Jan didakwa gagal melaksanakan tanggungjawab di agensi tersebut mengikut aspirasi Kerajaan Pakatan Harapan (PH).

Aktivis sosial dan pendidikan, Adam Adli Abd. Halim berkata, perkara itu jelas apabila Wan Saiful sering membuat keputusan yang bercanggah dengan kerajaan.

“Asyik bagi alasan menjengkelkan dengan kata nak bincang.

“Dia menjadikan PTPTN badan paling bangsat dalam negara,” katanya memetik laporan Malaysiakini hari ini.

Jelas Adam Adli, bekas Setiausaha Agung Parti Pribumi Bersatu (Bersatu) Perlis itu dilihat gagal menyelesaikan masalah berbangkit dalam PTPTN walaupun mengetuai agensi itu hampir setahun.

“Saya tak faham apa rasional kenakan sekatan seperti halang luar negeri macam ini, untuk dijadikan satu cadangan yang boleh diambil kira.

“Macam mana dia nilai prestasi diri sendiri? Wan Saiful sepatutnya bantu pelajar untuk jelaskan hutang. Ini tidak, bangkit isu lama pasal sekatan ini lagi,” katanya.

Tegas beliau, pembiayaan pendidikan bukan seperti pinjaman komersial dan PTPTN sendiri ditubuhkan untuk meningkatkan pendidikan rakyat, bukannya sebagai lubuk untuk meraih keuntungan.

“Jangan jadikan PTPTN itu sama macam syarikat korporat kewangan lain. Jangan mengambil kesempatan atas peminjam yang tiada pilihan.

“Mereka ini sebenarnya bukan ada banyak pilihan. Sudah jadi tradisi pelajar masuk universiti ambil pinjaman PTPTN, jadi jangan ambil kesempatan,” katanya. – UTUSAN ONLINE

Loading...