Wan Saiful Dakwa Salah Laku Libatkan PPBM Perlis

KANGAR – Wan Saiful Wan Jan yang hari ini digugurkan daripada jawatan setiausaha Parti Pribumi Bersatu Malaysia (PPBM) Perlis berkata, beliau baru-baru ini buat laporan polis mengenai apa yang didakwanya pemalsuan dokumen melibatkan tuntutan ratusan ribu ringgit di pejabat PPBM Perlis.

Menurut pengerusi Perbadanan Tabung Pendidikan Tinggi Nasional (PTPTN) itu, ada gesaan supaya beliau menarik balik laporan tersebut.

“(Saya) tidak tahu apa motif disuruh berbuat demikian namun saya berkeras tidak mahu menarik balik,” katanya dalam kenyataan hari ini.

Wan Saiful seterusnya berkata, beliau sebelum ini bertegas tidak mahu mencampuri apa yang didakwanya urusan mengatur pemberian kontrak kerajaan bernilai puluhan juta ringgit kepada syarikat melibatkan anak pemimpin PPBM dari Perlis walaupun ditawarkan sejumlah wang yang banyak.

Beliau menegaskan pendiriannya untuk tidak bertolak ansur dalam soal integriti selain tidak tunduk kepada tekanan untuk dapat wang dengan cara salah oleh mana-mana individu tanpa kira jawatan yang mereka pegang di Perlis. – BERNAMA

Loading...