Wan Ji Dibenarkan Tangguh Hukuman Penjara Setahun

SHAH ALAM – Mahkamah Tinggi di sini hari ini membenarkan penangguhan perlaksanaan hukuman penjara setahun yang dikenakan ke atas penceramah bebas, Wan Ji Wan Hussein kerana menerbitkan perkataan menghasut dan menghina terhadap Sultan Selangor, tujuh tahun lalu. 

Hakim Datuk Abdul Halim Aman membenarkan penangguhan itu selepas mempertimbangkan beberapa alasan yang dikemukakan oleh dua orang peguam mewakili Wan Ji, 37, Mohd. Radzlan Jalaludin dan Ariff Azami Hussein.

Penangguhan perlaksanaan itu berkuat kuasa hari ini sehingga proses rayuan di Mahkamah Rayuan selesai.

Dalam prosiding itu, Abdul Halim turut menetapkan syarat tambahan kepada Wan Ji iaitu dia mesti mendapatkan kebenaran mahkamah untuk keluar negara selain meneruskan syarat yang telah ditetapkan di Mahkamah Sesyen sebelum ini.

Syarat sebelum ini yang ditetapkan oleh Mahkamah Sesyen adalah membayar wang jaminan sebanyak RM5,000 dan pasport diserah kepada mahkamah jika ada.

Sementara itu, Mohd. Radzlan ketika ditemui selepas prosiding berkata, pihaknya telah memgemukakan 18 alasan kepada pihak mahkamah.

“Antara alasan yang dikemukan pihak kami adalah Wan Ji adalah penanggung tunggal keluarga dan perlu memastikan kebajikan anak terjamin. 

“Selain itu, alasan lain adalah lebih kepada kebajikan anak Wan Ji dan tempoh masa penjara adalah setahun, keluarganya lebih memerlukannya untuk berada di luar,” katanya.

Tambah beliau, Wan Ji membayar wang jaminan RM5,000 yang telah ditetapkan mahkamah itu.

Pada prosiding berkenaan, pihak pendakwaan diwakili Timbalan Pendakwa Raya, Mohd Asnawi Abu Hanipah.

Selasa lalu, Kosmo! melaporkan Wan Ji Wan Hussin terpaksa meringkuk dalam penjara setahun selepas Mahkamah Tinggi Shah Alam menolak rayuannya kerana menerbitkan perkataan menghasut dan menghina terhadap Sultan Selangor tujuh tahun lalu.

Abdul Halim menjatuhkan hukuman berkenaan setelah memberi pertimbangan terhadap rayuan silang pihak pendakwaan dengan menambah hukuman Wan Ji dari sembilan bulan kepada setahun.

Wan Ji, didakwa pada 10 September 2014, menerbitkan perkataan yang menghina Sultan Sharafuddin Idris Shah, termasuk membabitkan isu agama dalam Facebook (FB) dengan nama wanji.attaaduddi.
  
Dia dituduh melakukan kesalahan itu di Pejabat Perumahan Setiausaha Kerajaan Negeri Selangor, Tingkat 5, Bangunan Sultan Salehuddin Abdul Aziz Shah, Seksyen 5, di sini, pada 10 pagi, 5 November 2012.

Dia boleh dikenakan hukuman mengikut Seksyen 4(1)(c) Akta Hasutan 1948 iaitu denda maksimum RM5,000 atau penjara tidak lebih tiga tahun atau kedua-duanya bagi kesalahan pertama.

Untuk kesalahan kedua dan seterusnya, dia boleh dikenakan hukuman penjara maksimum lima tahun, jika sabit kesalahan. – K! ONLINE

Loading...