Wan Azizah Rasmi Kongres Atas Kapasiti TPM – Akmal

KUALA LUMPUR – Bekas presiden PKR, Dr. Wan Azizah Wan Ismail akan merasmikan kongres nasional tahunan Pemuda PKR nanti atas kapasiti timbalan perdana menteri, kata Ketua Pemuda Akmal Nasir.

Akmal berkata perkara itu dibincangkan dalam beberapa mesyuarat jawatankuasa kongres dan diputuskan pada 20 Oktober lepas.

“Sekiranya ada pendapat tidak setuju, bangkitkan dalam saluran yang sebaiknya,” katanya kepada pemberita di Parlimen hari ini.

Akmal dan timbalannya, Muhammad Hilman Idham berbalas kenyataan berhubung pembatalan undangan kepada Timbalan Presiden PKR, Mohamed Azmin Ali sebagai perasmi.

Hilman bersama 20 pimpinan Pemuda PKR lain mengkritik Setiausaha Agung PKR, Saifuddin Nasution, mengatakan pembatalan itu bukti perpecahan dalaman. Saifuddin dilapor menyerahkan soal perasmi kepada Pemuda.

Apabila ditanya kenapa Pemuda mahu-mahu menukar “tradisi” perasmi kongres, Akmal menjelaskan undangan bukan tertakluk pada individu.

Kongres Nasional Pemuda PKR akan berlangsung pada 6 Disember di Melaka International Trade Centre (MITC). – FMT

Loading...