Wan Ahmad Fayhsal Perlu Fokus Portfolio Dipegang

SHAH ALAM – MCA meminta Timbalan Menteri Belia dan Sukan, Wan Ahmad Fayhsal Wan Ahmad Kamal menumpukan fokusnya kepada portfolio dipegangnya berbanding memberikan cadangan supaya Bank Negara Malaysia (BNM) mencetak lebih banyak wang kertas.

Presidennya, Datuk Tan Teik Cheng berkata, krisis koronavirus (Covid-19) meninggalkan impak yang besar kepada golongan belia dan industri sukan dan ia wajar diberikan keutamaan.

“Usahlah membuat kenyataan yang tidak membantu keadaan ekonomi sekarang, apatah lagi dijadikan bahan jenaka pihak pembangkang untuk memperli kerajaan hari ini.

“Dari manakah beliau mendapat idea bahawa BNM wajar mencetak lebih banyak wang kertas atau dasar ‘wang helikopter’ dan memberikannya kepada rakyat untuk meningkatkan perbelanjaan?

“Adakah ia dibuat berdasarkan perbincangan mendalam oleh para pakar mengenai keadaan ekonomi negara hari ini?” soalnya dalam satu kenyataan hari ini.

Menurutnya, mana-mana pihak boleh memberikan cadangan, namun sebagai individu yang memegang portfolio timbalan menteri beliau disaran untuk membuat kajian terdahulu sebelum mengeluarkan sebarang kenyataan mengenai isu yang tidak begitu difahaminya.

“Kritikan dan cadangan yang konstruktif memang dialu-alukan untuk memastikan bahawa tidak ada sesiapapun yang tertinggal daripada mendapat bantuan kerajaan.

“Berilah peluang kepada kerajaan untuk menguruskan ekonomi negara dengan cekap dan lancar demi meringankan beban rakyat.

“Cadangan yang diberi Wan Ahmad Faysal tidak membawa apa-apa manfaat kepada rakyat mahupun negara dan hanya menjadi satu bahan jenaka pembangkang dan pembaziran sumber masyarakat,” katanya. – Sinar Harian

Loading...