Wakil Rakyat Perlu Isytihar Harta Pusaka, Derma

SHAH ALAM – Semua ahli Parlimen dan ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) perlu mengisytiharkan harta dan liabiliti masing-masing walaupun ada antara mereka mempunyai sumber pendapatan selain gaji dan elaun.

Ketua Pesuruhjaya Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM), Latheefa Koya berkata, hatta mereka yang mewarisi harta pusaka ahli keluarga atau menerima derma daripada mana-mana pihak pun perlu berbuat demikian.

Beliau menegaskan, mengisytiharkan lebih awal lebih baik daripada berbuat demikian setelah disiasat bagi mengelakkan persepsi dan tanggapan masyarakat.

“Semua sekali kena isytihar, tidak kira dari sumber gaji, elaun, perniagaan, derma, mewarisi harta pusaka atau apa saja pendapatan luar.

“Bagi SPRM, ini adalah langkah asas memerangi rasuah dan bagi pihak mereka pula apabila mengisytiharkan harta, orang ramai tidak akan salah sangka kepada kita.

“Negara lain sudah ke depan dalam hal ini,” katanya pada sidang media selepas menghadiri Majlis Lafaz dan Menandatangani Ikrar Bebas Rasuah (IBR) bersama Menteri Besar Selangor di sini hari ini.

Beliau berkata demikian ketika diminta mengulas kenyataan bekas Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak yang tidak bersetuju dengan inisiatif kerajaan mewajibkan Ahli Parlimen termasuk pembangkang mengisytiharkan harta masing-masing.

Ahli Parlimen Pekan itu dilaporkan berkata pada Julai lalu,  pengisytiharan harta oleh Ahli Parlimen pembangkang sebagai tidak adil lantaran mereka juga mempunyai sumber pendapatan lain, selain elaun Ahli Parlimen.

“Kita (ahli Parlimen pembangkang) bukan anggota badan eksekutif. Sebagai Ahli Parlimen, kita ada badan lain yang boleh siasat sekiranya ada apa-apa kesalahan.

“Kalau kita isytihar harta daripada punca pendapatan bukan sumber (elaun) ahli parlimen, misalnya kalau kita seorang peguam atau arkitek, kita ada punca daripada sumber lain,” kata Najib.

Sementara itu, Latheefa enggan mengulas apabila ditanya perkembangan terkini berhubung perlucuthak terhadap 41 individu dan entiti bagi tujuan mendapatkan semula wang 1MDB yang disalah guna.

“Kami akan maklum bila kami bersedia nanti… tunggu dulu,” katanya ringkas.