Wakil Rakyat DAP Guna Politik Kebencian – Mahdzir Khalid

KUALA NERANG – Anggota Parlimen Taiping, Nga Kor Ming menggunakan politik kebencian untuk menghancurkan perpaduan sesama kaum yang telah dibina sejak 60 tahun lalu apabila mempersendakan sambutan Aidilfitri dalam laman sosial Facebooknya.

Anggota Majlis Tertinggi UMNO, Datuk Seri Mahdzir Khalid turut menyifatkan tindakan pemimpin dari DAP itu biadab selain tidak menghormati budaya dan agama yang diamalkan dalam negara berbilang kaum sejak dahulu lagi.

Beliau yang juga Menteri Pendidikan berkata program perpaduan yang dilaksanakan di sekolah dalam negara juga tidak akan berjaya sekiranya kepimpinan DAP terus menjadikan politik sebagai medan untuk meruntuhkan perpaduan.

“DAP sebelum ini cakap untuk perjuang semua kaum tetapi sebaliknya berlaku, di mana (pemimpin parti itu) tidak menjaga sensitiviti orang Melayu Islam. Ini menunjukkan kepimpinan DAP tidak matang.

“Mudah bagi Nga yang meminta maaf selepas mendapat kritikan hebat daripada pelbagai pihak. Kita perlu berpolitik dengan cara yang betul dan bukan mengutuk budaya dan agama orang lain,” katanya kepada pemberita di Majlis Rumah Terbuka Aidilfitri Anggota Parlimen Padang Terap di Padang Kerasak, Naka, hari ini. Ia dihadiri lebih 20,000 orang.

Pada Selasa lalu, Nga memuat naik status gambar mempersendakan Aidilfitri dengan menyamakan sedekah duit raya sebagai rasuah dan ‘dedak’.

Mahdzir berkata perpaduan yang diasaskan sejak 60 tahun lalu perlu dijaga dengan baik dan generasi akan datang perlu menjaganya agar tidak dicemari dengan agenda politik parti pembangkang.

Katanya di peringkat sekolah pihak kementerian mempunyai program Rancangan Integrasi Murid Untuk Perpaduan (RIMUP), di mana program ini memberi pendedahan kepada pelajar sekolah sebagai cara untuk memperkukuhkan perpaduan.

Beliau berkata parti pembangkang perlu membantu usaha kerajaan untuk mengekalkan keharmonian perpaduan dalam kalangan masyarakat berbilang kaum dan bukan menanam politik kebencian dalam kalangan rakyat.

“Pemberian duit raya merupakan tradisi masyarakat di negara ini ketika sambutan Aidilfitri dan sama juga bagi masyarakat Tiong Hwa yang memberi ang pau kepada kanak-kanak. Ini perkara yang sering kita lakukan sejak dahulu lagi,” katanya.

Di TAIPING, Naib Ketua UMNO Bahagian Taiping, Datuk Mohamed Zahir Abdul Khalid berkata perbuatan Nga itu mencerminkan dirinya sebagai seorang yang berperibadi buruk.

Beliau berkata sebagai seorang Anggota Parlimen di negara berbilang kaum, Nga sepatutnya menghormati semua perayaan.

“Dalam kita menyambut perayaan ini, perpaduan dan keamanan amat penting,” katanya kepada Bernama. – BERNAMA

Loading...