Wakil Rakyat Bertikam Lidah Isu Keluar-Masuk Dewan

KUALA LUMPUR – Dewan Rakyat yang reda seketika selepas kekecohan pagi ini kembali panas apabila Tan Sri Noh Omar (BN-Tanjong Karang) bertindak masuk ke dalam Dewan.

Ini menimbulkan rasa kurang senang penyokong-penyokong kerajaan memandangkan Noh telah diperintahkan oleh Timbalan Yang Dipertua Dewan Rakyat, Nga Kor Ming supaya dilarang memasuki Dewan selama tiga hari susulan tindakan Noh semalam yang didakwa melanggar peraturan mesyuarat.

Maka bermulalah aksi bertikam lidah dalam kalangan penyokong kerajaan dan wakil pembangkang sehingga tidak dapat dikawal oleh Timbalan Yang Dipertua, Datuk Mohd. Rashid Hasnon.

Noh bertegas hukuman yang dijatuhkan ke atasnya itu adalah tidak adil memandangkan beliau tiada di dalam Dewan ketika itu.

“Saya tidak tahu, bolehkah satu hukuman itu dijatuhkan tanpa kehadiran saya. Kes ini kes bila? Semalam waktu saya berdepan dengan Timbalan Speaker patut beliau suruh saya keluar.

“Ini semalam punya kes, hari ni baru hukum, ini dasar apa? Satu tindakan malukan Dewan, saya boleh terima hukuman tapi kena adil,” jelas beliau.

Ahmad Maslan (BN-Pontian) juga bangun mempertahankan Noh dengan menjadikan situasi serupa pada sesi persidangan penggal lalu.

“Pada sesi yang sudah, saya ingin maklumkan Ahli Parlimen Gelang Patah ketika itu (Lim Kit Siang) telah dihalau keluar tetapi beliau tetap datang Dewan sampai akhir, tidak keluar Dewan,” katanya.

Mohd. Rashid pada awalnya tidak mengambil peduli apa yang dikatakan Ahmad itu dan tetap meminta bentara membawa Noh keluar dari Dewan.

Namun, mungkin atas desakan beberapa lagi wakil pembangkang termasuklah Datuk Seri Dr. Ismail Mohamed Said (BN-Kuala Krau) yang pernah duduk di kerusi Timbalan Yang Dipertua Dewan Rakyat, Mohd. Rashid akhirnya mengubah keputusan beliau.

“Minta bertenang. Saya faham apa yang telah berlaku sebelum ini.

“Demi hormati Dewan, saya benarkan untuk duduk sampai ‘break time’ pukul 1 tengah hari. Baik,” ujar Mohd. Rashid ketika jam menunjukkan berbaki satu minit sebelum waktu rehat.

Keputusan Mohd. Rashid itu terus membangkitkan rasa kurang senang penyokong pembangkang terutamanya Khoo Poay Tiong (PH-Kota Melaka).

“Keputusan telah dibuat Speaker, mana boleh biar dia duduk dalam Dewan,” tegas beliau.

Genap pukul 1 tengah hari, sidang Dewan Rakyat berhenti rehat dan Mohd. Rashid juga keluar dari Dewan tetapi pertikaman lidah dalam kalangan penyokong kerajaan dan wakil pembangkang berlarutan untuk tempoh beberapa minit sebelum semua bersurai.

Situasi kekecohan itu berlaku ketika delegasi Parlimen Singapura yang diketuai Speakernya, Tan Chuan-Jin sedang melakukan kunjungan dan menyaksikan sesi sidang Dewan Rakyat. – UTUSAN ONLINE

Loading...