Wajib Ujian COVID-19 Sebelum Sidang Dewan Rakyat

KUALA LUMPUR – Semua Ahli Parlimen perlu menjalani ujian COVID-19 terlebih dahulu sebagai langkah pencegahan dalam memastikan persidangan Dewan Rakyat yang dijadual bermula 2 November depan berlangsung dalam keadaan selamat.

Berdasarkan surat dikeluarkan Dewan Rakyat yang ditandatangi Setiausahanya, Nizam Mydin Bacha Mydin, semua 222 Ahli Parlimen disediakan kemudahan bagi menjalani ujian COVID-19 itu pada 30 Oktober ini di Parlimen.

Ujian COVID-19 itu akan diadakan secara pandu lalu di laluan letak kereta blok utama Parlimen dari jam 9 pagi hingga 5 petang.

Berdasarkan surat itu, ujian COVID-19 terbabit adalah wajib dan kegagalan berbuat demikian atau jika didapati positif, mereka tidak akan dibenarkan menghadiri persidangan Dewan Rakyat itu kelak. 

“Bagi Yang Berhormat (Ahli Parlimen) dari Sabah, ujian COVID-19 dan kuarantin perlu dibuat berdasarkan surat daripada Setiausaha Dewan Rakyat pada 9 Oktober lalu.

“Namun bagi Yang Berhormat dari negeri lain dan Yang Berhormat dari Sabah yang sudah berada di luar negeri itu sebelum arahan sekatan rentas negeri dikuatkuasakan, mereka hanya perlu menjalani ujian COVID-19 dan tidak perlu dikuarantin,” katanya.

Pada masa sama, surat itu turut menyatakan Ahli Parlimen digalakkan menjalani ujian ini di Parlimen namun ia juga boleh dibuat di mana-mana kemudahan jagaan kesihatan kerajaan dan swasta. 

Katanya, sekiranya Ahli Parlimen memilih untuk menjalani ujian COVID-19 di klinik atau hospital kerajaan, mereka harus menghubungi Jabatan Kesihatan Negeri (JKN) untuk membuat temujanji dan perlu mendapatkan keputusan ujian daripada doktor. 

“Sekiranya ia dibuat di hospital atau pusat perubatan swasta pula, pihak Parlimen tidak akan menanggung kos pembiayaannya.

“Ujian ini perlu menggunakan kaedah Reverse Transcription-Polymerase Chain Reaction (RT-PCR) dan hendaklah dilakukan dalam tempoh tiga hari sebelum bermulanya persidangan Dewan Rakyat atau tiga hari sebelum Yang Berhormat hadir di Dewan Rakyat.

“Keputusan hasil ujian juga perlu dihantar kepada Setiausaha Dewan Rakyat melalui e-mel,┬ásudr@parlimen.gov.my,” katanya.

Selain itu, Ahli Parlimen turut dinasihat dan digalakkan kekal berada di Kuala Lumpur sepanjang persidangan Dewan Rakyat bagi mengurangkan risiko penularan COVID-19.

Mesyuarat Ketiga Penggal Ketiga Parlimen ke-14 Dewan Rakyat akan berlangsung selama 27 hari, mulai 2 November hingga 15 Disember depan. – BH Online

Loading...