Warga Hong Kong Wajib Belajar Lagu Kebangsaan China

HONG KONG – Satu rang undang-undang kontroversi dibentangkan kepada ahli-ahli Majlis Perundangan Hong Kong semalam bagi kenakan hukuman penjara sehingga tiga tahun terhadap sesiapa yang didapati hina lagu kebangsaan China.

Selain hukuman penjara, denda sebanyak HK$50,000 (RM26,000) boleh dikenakan ke atas mereka yang sengaja dan secara terbuka bertindak hina lagu rasmi itu.

Undang-undang tersebut turut me­rangkumi pelajar sekolah termasuk di sekolah antarabangsa dan mereka wajib mempelajari lagu kebangsaan itu.

Pihak berkuasa China mahu menanam semangat patriotisme yang lebih kuat di bekas koloni British itu pada ketika ketegangan kian memuncak antara aktivis demokrasi dan pro-Beijing.

Perbuatan menghina lagu itu ketika perlawanan bola sepak sudah menjadi satu cara protes politik sejak beberapa tahun lalu, khususnya dalam kalangan belia yang kecewa dengan peningkatan pengaruh Beijing.

Pulau hab kewangan dunia itu kembali bawah pemerintahan China pada 1997 di bawah formula ‘satu negara dua sistem’ yang menjanjikan Hong Kong kuasa autonomi yang tinggi termasuk kebebasan bersuara.

Rang undang-undang itu dijangka diluluskan apabila tiba masa untuk me­ngundi, mungkin sebelum musim panas memandangkan pihak pembangkang tidak mempunyai kerusi yang cukup bagi menghalangnya.

Bagaimanapun, ramai golongan belia Hong Kong semakin berang dengan apa yang mereka lihat sebagai pencerobohan China ke dalam budaya dan autonomi pulau itu dengan sebilangan daripadanya menyokong identiti sebagai penduduk Hong Kong. – Reuters