Wajarkah Ahmad Zahid Ambil Cuti?

SAYA bersetuju dengan kenyataan Timbalan Presiden UMNO, Datuk Seri Mohamad Hasan iaitu kemungkinan Presiden UMNO, Datuk Seri Dr. Ahmad Zahid Hamidi perlu ambil cuti sementara.

Ini sebenarnya untuk memberi ruang kepada beliau bagi dapat membersihkan dirinya daripada kezaliman akibat “pendakwaan berpilih” oleh pentadbiran rejim Tun Dr. Mahathir Mohamad dan DAP.

Cuti sementara itu bermaksud Ahmad Zahid akan kembali kepada jawatan presiden parti setelah kes beliau selesai nanti. Klik https://m.malaysiakini.com/news/448000 untuk rujuk kenyataan Timbalan Presiden UMNO.

Tidak sampai beberapa jam Ahmad Zahid didakwa, syarikat Datasonic Group Berhad telah membuat penafian kepada Bursa Saham Malaysia bahawa mereka ada membuat pembayaran kepada beliau sebanyak RM6 juta.

Datasonic juga memaklumkan tender pembekalan 12.5 juta cip pasport diperolei melalui tender terbuka. Sudah tentu Datasonic tahu implikasi buruk jika mereka berbohong kepada pihak Bursa Saham Malaysia.

Maka terbuktilah ini contoh pendakwaan berpilih untuk memalukan Ahmad Zahid dan UMNO. Justeru dengan ambil cuti sementara, ia beri masa yang secukupnya kepada beliau fokus kepada perang perundangan dan fitnah.

Dalam masa sama, agenda hala tuju dan tawaran baharu parti dapat diteruskan oleh Mohamad yang cukup masak dengan arena poltik dan berpengalaman luas termasuk sebagai bekas Menteri Besar Negeri Sembilan sebelum ini.

Manakala tindakan Ahmad Zahid dengan mengambil cuti sementara itu akan membuktikan bahawa beliau dan UMNO sebenarnya lebih bermaruah apabila berhadapan dengan tindakan perundangan di mahkamah.

Lagi pun, lebih mudah untuk beliau hendak menjawab sebarang pertanyaan daripada pihak media jika tidak memegang jawatan parti buat sementara waktu kerana tidak mempunyai apa-apa kepentingan politik.

Ini memberi tamparan kepada pihak Pakatan Harapan di mana pemimpinnya seperti Lim Guan Eng terus pegang jawatan bahkan bertanding dalam pilihan raya umum ke 14 walaupun berhadapan dengan pendakwaan kes rasuah.

Lebih mengejutkan banyak pihak apabila Setiausaha Agung DAP itu kemudian dilantik sebagai Menteri Kewangan oleh Mahathir. Pokoknya, pemimpin UMNO tetap bersifat lebih gentleman.

Mohd Puad Zarkashi
19.10.2018

Loading...