Virus Covid-19 Dikesan Pada Permukaan Badan Mayat

PUTRAJAYA – Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) memaklumkan penemuan bedah siasat mendapati terdapat virus Covid-19 dikesan pada permukaan badan mayat melalui analisa Real-time Polymerase Chain Reaction (rt-PCR) dijalankan oleh Institut Penyelidikan Perubatan (IMR).

Ketua Pengarah Kesihatan, Datuk Dr Noor Hisham Abdullah berkata, Institut Perubatan Forensik Negara menjalankan satu bedah siasat terhadap satu mayat kes Covid-19.

Menurutnya, bedah siasat dijalankan mengikut Seksyen 16 Akta Kawalan Penyakit Berjangkit 1988 Akta 342.

“Penemuan baru ini selaras dengan pandangan dikemukakan oleh KKM sebelum ini dan dipersetujui oleh Mesyuarat Jawatankuasa Muzakarah Khas Majlis Kebangsaan Bagi Hal Ehwal Ugama Islam Malaysia yang telah bersidang pada 15 Mac 2020 serta Majlis Perundingan Malaysia, Agama Buddha, Kristian, Hindu, Sikh, dan Tao (MCCBCHST) pada 16 Mac lalu.

“Tatacara itu merangkumi pengurusan jenazah Islam di mana hanya dibenarkan untuk ditayamum di atas permukaan beg jenazah, manakala bagi mayat bukan Islam apa-apa upacara keagamaan dan tradisi hanya dibuat di atas permukaan beg mayat,” katanya pada sidang media harian di Putrajaya hari ini. – myMetro Online

Loading...