Video Tular: Lelaki Tukar Pengakuan Tak Bersalah

KAMPAR – Seorang lelaki dihadapkan ke Mahkamah Majistret Kampar hari ini atas pertuduhan memandu kereta dengan cara merbahaya di KM306 Lebuh Raya Utara-Selatan arah selatan Sabtu lalu.

S Sugendran, 40, didakwa selepas video yang memaparkan dua kereta berhenti di lebuh raya dan seorang lelaki bertindak mengacukan pengunci stereng kepada kenderaan lain tular di laman sosial Facebook.

Tertuduh yang bekerja sebagai pengurus kafe didakwa memandu kereta jenis Toyota Vios dengan cara merbahaya kepada orang awam iaitu memberhentikan keretanya di tengah jalan secara tiba-tiba.

Pertuduhan dilakukan mengikut Seksyen 42(1) Akta Pengangkutan Jalan 1987 yang membawa hukuman denda maksimum RM15,000 dan penjara lima tahun jika sabit kesalahan.

Bagaimanapun tertuduh pada awalnya mengaku salah menukar pengakuan kepada tidak bersalah selepas dimaklumkan mengenai hukuman penjara yang bakal dihadapinya ketika rayuan.

Pendakwaan dikendalikan oleh Timbalan Pendakwa Raya, Siti Norashikin Hassanor manakala tertuduh diwakili peguam dari Yayasan Bantuan Guaman Kebangsaan, Siti Hajar Hamzah.

Majistret Nur Faizah Muhamad Saleh kemudiannya membenarkan jaminan RM6,000 dengan seorang penjamin dan menetapkan 11 Februari depan sebagai tarikh sebutan semula kes. – Sinar Harian

Loading...