Video: Singa Cuba Buka Pintu Nak Masuk Kereta

PENTING untuk menjaga keselamatan semasa dalam perjalanan, termasuk sentiasa mengunci pintu kenderaan anda bagi mengelakkan hal yang tidak diingini daripada berlaku.

Inilah yang dialami seorang wanita ketika sedang melawat ke Taman Negara Kruger, Afrika Selatan apabila berdepan detik-detik cemas seekor singa di kawasan tersebut cuba membuka pintu keretanya hari ini.

Video yang sempat dirakam oleh pemandu di sekitar kejadian, menyaksikan dua ekor singa sedang melintas di jalan raya ketika kebanyakan kereta sedang berbaris panjang melalui kawasan tersebut.

Bagaimanapun, seekor singa berhenti di tengah-tengah jalan apabila haiwan karnivor itu tertarik dengan sebuah cermin sisi berwarna kuning pada sebuah kereta.

Selepas mengendus cermin kereta berkenaan, mamalia itu bertindak cuba membuka kereta menggunakan gigi dan tangan beberapa kali namun tidak berjaya.

Lapor Daily Mail, kejadian yang berlaku sekitar jam 5 pagi menyebabkan pemandu tersebut, Bronwyn Hattingh, 36, terkejut dan gementar atas tindakan singa yang menyerang keretanya secara tiba-tiba.

“Anda boleh dengar pemegang pintu kereta ditarik beberapa kali untuk dibuka. Hal tersebut seolah-olah haiwan berkenaan pernah melakukannya sebelum ini,” katanya.

Ujarnya lagi, kejadian tersebut tidak diduga namun dia sempat mengunci pintu keretanya ketika diserang singa berkenaan.

Klip tersebut berakhir apabila kereta itu bergerak perlahan-lahan meninggalkan haiwan liar itu. – MYNEWSHUB.CC/MIZE