Video: Seret, Pukul Ibu Sendiri Kerana Isu Wang

HANYA kerana menuntut hutang, seorang wanita tergamak memukul dan menyeret ibunya sendiri dalam kejadian di wilayah Yangquan, wilayah Shanxi, China, pada Ahad lalu.

Lapor Dailymail, wanita berusia 30-an itu mendakwa bahawa ibu kandungnya itu enggan membayar semula sejumlah wang yang dipinjamkan kepadanya kira-kira lima tahun lalu.

Menerusi rakaman video berdurasi kira-kira 2.22 saat, wanita berbaju putih itu menyeret rambut ibunya di atas jalan raya sambil memukul kepalanya berkali-kali.

Situasi yang tidak ubah seperti si Tanggang moden itu turut disaksikan oleh beberapa orang awam yang cuba menasihatinya agar menghentikan perbuatan berkenaan.

Tindakan melampau wanita itu lantas membuatkan beberapa individu tampil meleraikan perbuatannya dan cuba diasak dengan beberapa pukulan.

Rakaman video kemudian menunjukkan beberapa anggota polis cuba menenangkan keadaan dan meminta agar orang awam tidak merakam video kejadian.

Menurut sumber di laman Weibo, si ibu telah meminjam sebanyak 3,000 yuan kepada anak perempuannya itu bagi menguruskan perkahwinan seorang lagi anaknya.

Namun ada segelintir yang lain mendakwa bahawa wanita yang dipukul itu sebenarnya tidak meminjam wang dan mungkin mengalami masalah mental.

Biarpun diperlaku demikian, si ibu menurut laporan media tempatan mengatakan yang dia tidak sanggup dan tidak akan melaporkan kejadian tersebut kepada polis. – MYNEWSHUB.CC

Loading...