Video Seks: 26 Pemimpin PKR Tegur Anwar

SHAH ALAM – Seramai 26 pemimpin kanan Parti Keadilan Rakyat (PKR) termasuk empat ahli Parlimen mendesak Presiden parti, Datuk Seri Anwar Ibrahim agar tidak mengeluarkan kenyataan yang boleh memecah-belahkan parti.

Menerusi kenyataan bersama yang dikeluarkan pagi ini, mereka sebulat suara akan bersama Timbalan Presiden PKR, Datuk Seri Mohamed Azmin Ali di samping meminta Anwar mengukuhkan perpaduan anggota parti demi keutuhan PKR, Pakatan Harapan (PH) dan negara.

Berikut adalah kenyataan penuh dan senarai nama 26 pemimpin yang terlibat.

HENTIKAN USAHA MEMECAHBELAHKAN PARTI

Ketika menjawab soalan wartawan di Parlimen semalam, Dato’ Seri Anwar Ibrahim telah menyatakan bahawa Timbalan Presiden, Dato’ Seri Mohamed Azmin Ali harus meletakkan jawatan sekiranya kesahihan video intim yang menjadi persoalan dibuktikan.

Kami tegas berpendirian bahawa kenyataan tersebut tidak berasas kerana hanya berdasarkan spekulasi semata-mata.

Presiden sewajarnya memberikan kepimpinan yang jelas terhadap persoalan utama untuk membanteras komplot politik jahat bagi menjatuhkan YB Dato’ Seri Mohamed Azmin.

Beliau juga harus fokus kepada perlakuan jenayah konspirator yang telah secara terancang menularkan video intim yang jijik dengan niat jahat.

Kita hairan kerana ketika video fitnah ini ditularkan, beliau telah mengeluarkan pandangan yang berbeza dengan mengatakan bahawa YB Dato’ Seri Mohamed Azmin tidak perlu melepaskan jawatannya.

Justeru, berdasarkan penafian tegas YB Timbalan Presiden, Dato’ Seri Mohamed Azmin Ali berkaitan hal ini, Presiden sewajarnya mempertahankan Timbalan Presiden demi memelihara muafakat utuh KEADILAN dan tidak sama sekali cuba menggasir kedudukan Timbalan Presiden dalam Kerajaan tanpa sebarang asas yang kukuh.

1. Presiden wajar menyorot kembali asas perjuangan reformasi di mana seluruh kepimpinan dan anggota KEADILAN berdiri teguh mempertahankan beliau dari fitnah jahat yang menggunakan fitnah dan video seks sebagai alat politik biarpun pada tahun 2011, ketika itu Ketua Polis Negara mengumumkan bahawa video seks tersebut adalah tulen.

YB Dato’ Seri Mohamed Azmin secara konsisten telah mempertahankan beliau dan keluarganya selama lebih 20 tahun daripada semua tuduhan ‘gutter politics’.

Maka, kami ingin menegaskan bahawa KEADILAN wajib berdiri teguh dan konsisten menentang politik kotor yang digunakan dalam komplot untuk menjatuhkan Timbalan Presiden.

Kami akan bersama YB Dato’ Seri Mohamed Azmin dan mana-mana pimpinan lain sekiranya mereka diserang dengan cara yang tidak bermoral seperti ini.

Kami menggesa YB Dato’ Seri Anwar Ibrahim selaku Presiden KEADILAN untuk berhenti dari mengeluarkan sebarang kenyataan yang memecah belah kesatuan parti.

Kami menyeru Presiden untuk segera menggembeling perpaduan anggota demi keutuhan KEADILAN, Pakatan Harapan dan negara yang tercinta ini.

Kenyataan dibuat oleh Ahli – Ahli Majlis Pimpinan Pusat:

  1. YB Puan Hajjah Zuraida Kamaruddin – Naib Presiden
  2. Saudara Chua Tian Chang – Naib Presiden
  3. YB Ali Biju – Naib Presiden
  4. YB Haniza Talha – Ketua Wanita / Ahli MPP
  5. YB Dato’ Sri Dr. Santhara – Timbalan Setiausaha Agung / Ahli MPP
  6. YB Amirudin Shari – Ahli MPP
  7. YB Dato’ Rashid Hasnon – Ahli MPP
  8. YB Sivarasa Rasiah – Ahli MPP
  9. Saudari Rahimah Majid – Ahli MPP
  10. YB Elizabeth Wong – Ahli MPP
  11. YB Dato’ Saifuddin Abdullah – Ahli MPP
  12. Saudara Zakaria Abdul Hamid – Ahli MPP
  13. Saudara Mohd Radzlan Jalaludin – Ahli MPP
  14. YB Dato’ Dr. Mansor Othman – Ahli MPP
  15. YB Dato’ Kamarudin Jaafar – Ahli MPP
  16. YB Azmizam Zaman Huri – Ahli MPP
  17. Saudari Gan Pei Nei – Ahli MPP
  18. YB Hee Loy Sian – Ahli MPP
  19. YB Lee Kai Loon – Ahli MPP
  20. YB Baru Bian – Ahli MPP / Pengerusi MPN Sarawak (MP)
  21. YB Dr. Daroyah – Timbalan Ketua Wanita / Ahli MPP
  22. YB Muhammad Hilman Idham – Timbalan Ketua AMK / Ahli MPP

Ahli – Ahli Parlimen:

  1. YB Steven Choong – (Tebrau)
  2. YB Jonathan Yasin – (Ranau)
  3. YB Willy Mongin – (Puncak Borneo)
  4. YB Maria Chin Abdullah – (Petaling Jaya)
Loading...