Video: Saja Nak Cuba Rasa Air Ketum…

KOTA BHARU – Tular menerusi media sosial mengenai video tiga pelajar perempuan di negeri ini meneguk air ketum yang dipercayai dibeli dengan harga RM10.

Difahamkan, tiga pelajar berkenaan berusia 15 tahun di sebuah sekolah di Bachok, Kelantan berkongsi duit untuk membeli air ketum itu.

Menurut sumber polis yang dipetik sebuah portal, siasatan mendapati kejadian itu berlaku petang semalam kira-kira jam 2 petang iaitu di luar waktu sekolah.

Soal siasat ke atas pelajar berkenaan juga mendapati itu adalah kali pertama mereka mencuba minuman tersebut kerana ingin mengetahui bagaimana rasanya.

Pihak polis dengan bantuan Jabatan Siasatan Jenayah Narkotik (JSJN) Kelantan sudah mengenal pasti lelaki yang menjual air ketum tersebut dan tindakan lanjut dan tangkapan akan dibuat dalam masa terderkat.

Sementara itu semakan dengan pihak sekolah juga mendapati ketiga-tiga pelajar terbabit tidak mempunyai rekod kesalahan disiplin.

Pihak polis dan sekolah amat memandang serius akan kes salah laku pelajar terutamanya yang melibatkan kegiatan meminum air ketum.

Jika ditangkap, pelajar boleh didakwa di bawah Seksyen 30(5) Akta Racun 1952 boleh didenda tidak lebih RM10,000 atau penjara 4 tahun atau kedua-duanya sekali. – MYNEWSHUB.CC

Loading...