Video Penyokong Indonesia Dipukul Cuba Burukkan Malaysia

KUALA LUMPUR – Siasatan awal polis berkaitan video tular yang menunjukkan beberapa warga Indonesia dipukul dipercayai tidak berlaku di sekitar Stadium Nasional Bukit Jalil, lokasi perlawanan bola sepak antara Malaysia dan Indonesia baru-baru ini.

Pengarah Jabatan Siasatan Jenayah Bukit Aman, Huzir Mohamed berkata setakat ini, polis menerima satu laporan yang menggesa agar kesahihan video berkenaan disiasat dan siasatan sedang dibuat di bawah Seksyen 500 Kanun Keseksaan dan Seksyen 233 Akta Komunikasi dan Multimedia 1998.

“Penyebaran video berkenaan dipercayai dibuat dengan niat untuk memburukkan reputasi Malaysia serta menjejaskan hubungan baik antara Malaysia dan Indonesia. Penyebaran video itu juga dilihat mempunyai agenda untuk memudaratkan keselamatan rakyat negara ini yang berada di Indonesia,” katanya dalam satu kenyataan.

Baru-baru ini, satu video berdurasi kira-kira 48 saat tular di media sosial memaparkan beberapa individu dipercayai warga Indonesia dicederakan oleh beberapa warga Malaysia, yang didakwa ada kaitan dengan perlawanan bola sepak kelayakan Piala Dunia 2022/Piala Asia 2023 di Stadium Nasional Bukit Jalil Selasa lepas.

Semalam, Pejabat Menteri Belia dan Sukan membuat laporan polis bagi menyiasat kesahihan video terbabit.

Mengulas lanjut, Huzir berkata polis dengan kerjasama Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia sedang membuat siasatan terperinci berkenaan video itu.

“Bagi memastikan siasatan kes ini dapat dilakukan dengan secara menyeluruh, PDRM menggesa individu yang menjadi mangsa sebagaimana dipaparkan dalam video itu untuk tampil membuat laporan polis.

“Mana-mana individu yang menjadi saksi atau mempunyai maklumat berkenaan insiden itu juga diminta tampil untuk membantu siasatan,” katanya.

Huzir menasihatkan orang ramai untuk tidak menyebarkan video itu kerana dikhuatiri mampu mencetuskan kemarahan masyarakat di negara ini mahupun masyarakat Indonesia.

“Keamanan dan hubungan baik antara kedua-dua negara tidak sewajarnya dicalarkan dengan penyebaran video yang tidak diketahui kesahihannya ini,” katanya.

Loading...