Video Lucah: Haziq Mahu Ke Manila Sebelum Ditahan

37

KUALA LUMPUR – Polis mengesahkan Haziq Abdullah Abdul Aziz, individu yang mendakwa dirinya terlibat dalam satu video intim bersama seorang menteri bercadang untuk ke Manila, Filipina hari ini.

Pengarah Jabatan Siasatan Jenayah Bukit Aman, Datuk Huzir Mohamed berkata, pihaknya menahan lelaki berusia 27 tahun itu pada pukul 6 petang tadi.

“Tangkapan dilakukan oleh sepasukan pegawai dari Unit Siasatan Jenayah Terkelas (USJT), Bukit Aman semasa dia (Haziq) berada di Terminal Pelepasan Antarabangsa Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur, Sepang,” katanya dalam satu kenyataan yang dikeluarkan di sini hari ini.

Tambah Huzir, penahanan itu bagi membantu siasatan di bawah Seksyen 292 Kanun Keseksaan iaitu menjual buku-buku lucah, Seksyen 504 dengan sengaja mengaibkan dengan niat hendak membangkitkan pecahan keamanan serta Seksyen 377B kerana melakukan persetubuhan yang bertentangan dengan aturan tabii.

“Selain itu, siasatan turut dilakukan mengikut Seksyen 233 Akta Komunikasi dan Multimedia 1998 iaitu penggunaan tidak wajar kemudahan rangkaian dan lain-lain,” ujarnya.


Terdahulu, media melaporkan, terdapat beberapa video tular, memaparkan dua individu yang berada di atas katil melakukan aksi lucah dan salah satu individu tersebut dikatakan mirip seorang menteri. – K! ONLINE