Video Intim: PDRM Perlu Guna Khidmat Pakar Luar

SHAH ALAM – Polis Diraja Malaysia (PDRM) memerlukan kepakaran pihak luar untuk menganalisa kandungan video intim yang dikaitkan dengan seorang menteri kanan seperti yang tular di media sosial beberapa bulan lalu.

Menurut Ketua Polis Negara, Tan Sri Abdul Hamid Bador, tindakan itu seiring dengan arahan yang diterima daripada Jabatan Peguam Negara agar mendapatkan pandangan daripada dua pihak yang berkepakaran dalam bidang terbabit.

“Kita nak jalankan siasatan tinggi sudut teknikalnya. Saya tidak boleh berikan pandangan peribadi, keputusan hasil siasatan yang diberikan satu pihak tetapi kita terus mendapat arahan Jabatan Peguam Negara untuk mendapatkan pandangan kedua dan ketiga yang mempunyai kepakaran dalam bidang ini.

“Kita tidak boleh sembrono, kerana mereka (pakar) akhirnya akan dipanggil di mahkamah untuk memberi penerangan.

“Jadi kita masih lagi (berhubung) dengan Jabatan Peguam Negara dan arahan telah dikeluarkan. Pihak kami sedang mendapatkan khidmat pakar untuk menganalisa kandungan video tersebut,” kata Abdul Hamid.

Beliau berkata demikian dalam sesi Bicara Minda Sinar Harian yang dikendalikan oleh Tan Sri Johan Jaafar di Auditorium Kompleks Karangkraf di Shah Alam pada Rabu.

Pada Mei  lalu, negara digemparkan dengan penyebaran sedutan video intim yang didakwa mirip seorang menteri Kabinet.

Serentak penyebaran video intim itu juga, bekas Ketua Angkatan Muda Keadilan (AMK) Santubong, Haziq Abdullah Abdul Aziz membuat pengakuan secara terbuka yang dia merupakan pelaku yang mengadakan hubungan sejenis dengan pasangannnya yang didakwa pemimpin kanan sebuah parti politik.

Tidak lama selepas penyebaran video berkenaan, lima individu termasuk Haziq ditahan polis sebelum dibebaskan bagi membantu siasatan dibawah Seksyen 292 Kanun Keseksaan dan Seksyen 233 Akta Komunikasi Multimedia 1998. – Astro AWANI

Loading...